Emak memang gemar bercerita. Bukan sekadar cerita yang disampaikan menarik tetapi gayanya persis sang pencerita dalam siri Disney termasuk yang terbaru Bedtime Stories.
Biasanya emak bercerita di waktu petang. Apatah lagi kalau hari itu hujan, dia tidak berpeluang ke sawah atau kebunnya. Sambil kami mencecah ubi rebus dengan gula merah, kami adik-beradik mendengar dengan tekun cerita emak.
Aros, Jilah, Wati dan Rusni turut menghayati cerita emak. Aton, Kinah dan Ida – tiga lagi adikku masih belum ada lagi.
Kalau tidak di waktu petangpun, emak pasti bercerita bagi mengisi masa perjalanan Kampung Merbau Condong-Pelegong yang biasanya mengambil masa lebih setengah jam dengan berjalan kami.
Emak tahu kami letih sekembalinya dari rumah Nenek Siti. Sebagai penghibur, emak bercerita lagi.
Hingga kini aku masih dapat merasakan sedih dan kesal yang amat sangat atas kebodohan seorang ibu. Ibu yang terlalu lurus itu sanggup menyembelih anak lelakinya semata-mata kerana namanya yang sama dengan sejenis buah.
“Kalau tidak ada lauk tengah hari nanti, gulai saja Kundur,” itulah pesan suaminya sebelum berangkat ke kebun.
Sewaktu makan tengah hari, suaminya bertanyakan di mana anak lelakinya, Kundur yang diajaknya makan bersama.
“Kundur?,” tanya isterinya. “Bukankah abang yang suruh gulaikan saja Kundur sebagai lauk makan tengah hari.”
“Kundur mana? Kundur yang abang maksudkan ialah buah kundur. Bukan Kundur anak kita,” sergah suaminya.
“Sejak itulah kampung di Rembau itu dinamakan Kampung Kundur,” emak menutup cerita.
Apa lagi. Kami menangis teresak-esak mendengar cerita emak. Setelah kesedihan berlalu, aku sempat pula bertanya emak,” Kenapa pula mukim ini bernama Labu?”
“Labu diberi nama kerana pada zaman dahulu ada sebatang pokok labu yang sangat besar. Batangnya yang besar itu menjadi titian penduduk kampung untuk menyeberang sungai,” jawab emak pendek.
Apabila dewasa, aku mengikut jejak emak. Setiap malam aku bercerita sewaktu menidurkan Siti Haryati, Siti Atiqah dan kemudiannya Siti Adibah.
Aku perlukan stok cerita yang banyak. Sering berlaku, sewaktu anak-anakku hampir terlelap, mereka tersedar kembali dan berkata,” Cerita tu dah cerita dulu!,” aku hanya mampu tersenyum malu.
Sejak menjadi cikgu, aku biasanya memulakan kelas dengan menyanyi atau bercerita.
Sebaik-baik ucapan `Selamat Pagi Cikgu’ diucapkan, akan kedengaranlah permintaan, “Cikgu, cerita!” Ini bukan saja berlaku sewaktu aku mengajar darjah satu dulu tetapi permintaan yang sama turut berulang sewaktu berhadapan dengan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Teknik malah sewaktu di Institut Pendidikan Guru.
Bezanya, cuma kata-kata yang disampaikan. “Tuan Haji, ceritalah macam semalam. Cerita apa-apa saja.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan