Tidak seperti guru pelatih lain, Haji Mohsin mempunyai kelebihan sendiri sewaktu belajar di Maktab Perguruan Mohd Khalid, Johor Bahru pada tahun 1972 dan 1973 dulu.
Dia tidak perlu menyewa rumah seperti kami. Rumah ibu bapanya terletak tidak jauh dari maktab yang terletak di Jalan Abdul Samad. Rumahnya di Jalan Dapat bukan saja dapat menampung beberapa guru pelatih yang menyewa, tetapi di sini juga dapat kami merasakan suasana kampung di tengah-tengah kesibukan bandar Johor Bahru.
Semangat kekeluargaan ibu bapa Haji Mohsin cukup tinggi. Kami yang sering datang, dilayan macam anak sendiri. Haji Mohsin yang naik haji sejak kecil juga begitu.
Oleh itu tidak hairanlah Haji Mohsin sentiasa saja menziarahi kami, guru pelatih yang datang dari luar yang menyewa rumah sama ada di Jalan Mariamah, Jalan Juara atau di Jalan Noja.
Menariknya ketika itu kami tidak mampu membeli basikal atau motosikal. Elaun bulanan cuma RM150.00. Itulah duit untuk menyewa rumah, makan-minum, beli pakaian atau apa-apa saja. Untuk ke rumah kawan-kawan, kami hanya berjalan kaki.
Peliknya Haji Mohsin boleh tiba-tiba saja muncul di Jalan Juara; kemudiannya dapat dikesan berada di Jalan Mariamah dan mungkin pada petang yang sama telah berada di rumahku di Jalan Noja.
Kehebatan Haji Mohsin `terbang’ dari satu rumah ke satu rumah lain membolehkannya memegang gelaran Haji Burung. Gelaran ini lekat hingga kini iaitu hampir 40 tahun kemudian.
Sewaktu ke Johor Bahru bersama keluarga baru-baru ini, Haji Mohsin yang telah bersara sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru turut datang ke hotel, setelah mendapat tahu kedatanganku daripada Sith Buntat, rakan se maktab.
Haji Burung masih seperti dulu. Kemesraannya sukar ditanding. Dia lantas mengajakku ke rumahnya – rumah pusaka bapanya tempat kami bermain dulu. Minggu depannya dia pula singgah di rumahku di Seremban dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur.
Minggu berikutnya, dia datang lagi – kali ini ke studio milikku di Seremban 2. Macam dulu, dia masih suka menyanyi. Dia turut mengajak Mohamad Hamdan, seorang lagi rakan kami datang. Dari jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam, Haji Mohsin berkaraoke.
Rupa-rupanya, Haji Mohsin tidak putus hubungan dengan sebahagian rakan semaktab kami. Di telefon bimbitnya penuh dengan nombor mereka. Maka program Jejak Kasih bermula.
Petang itu aku dapat mendengar kembali suara rakan-rakan kami dari seluruh pelusuk negara – Jamaludin di Melaka, Rahman di Perak, Tuan Kembang, Faizah dan Sulung di Terengganu, Rokiah di Selangor, Norsiah di Kuala Lumpur, Mutalib di Johor, Rosmah di Kedah dan ramai lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan