Matematik memang antara mata pelajaran kegemaranku. Oleh sebab itu tidak menghairankan sekiranya pada setiap kali ujian dan peperiksaan, markah Matematikku antara yang tertinggi di kelas sejak di sekolah rendah lagi.
Bagaimanapun penguasaan Matematikku mula terganggu apabila kami menerima guru baru sewaktu di Tingkatan Dua. Maaf, aku terlupa namanya tetapi guru itu ialah guru TUOS, guru yang menjalani latihan pada cuti sekolah dan mengajar sepenuh masa sewaktu penggal persekolahan. Biarlah aku namakan guruku itu Cikgu `M’ sahaja.
Seperti hari-hari sebelum itu, Cikgu `M’ memanggilku ke hadapan bagi menyelesaikan masalah Matematik yang telah dituliskannya di papan hitam.
“Cikgu tahu, Zul mesti boleh buat ni,” pujinya tanpa dapat aku pastikan kejujurannya.
Aku dipanggil kerana dua rakanku yang pandai Matematik – Azam dan Asmah - juga tidak dapat menyelesaikan masalah itu sebelum itu. Setelah memerhatikan dengan teliti ayat Matematik itu beberapa minit, dengan separuh yakin aku mencatat jawapannya.
Tiba-tiba aku mendengar tepukan Cikgu `M’. “Kan saya dah kata Zul boleh melakukannya. Berikan tepukan gemuruh,” pinta Cikgu `M’ yang diikuti suasana riuh.
Entahlah, aku macam tidak rasa gembira saja dengan pujian itu. Sewaktu di rumah petang itu aku cuba memerhatikan semula ayat Matematik yang kusalin daripada papan hitam. “Ha!,” aku tersenyum puas. Aku telah menemui jawapan yang betul; bukan jawapan yang kutulis pagi tadi dan mendapat tepukan gemuruh pula.
Pagi-pagi lagi keesokan harinya aku mencari Cikgu `M’ di Bilik Guru. “Maaf, cikgu! Sebenar jawapan yang saya berikan semalam, salah. Ini jawapan yang betul,” kataku sambil menunjukkan kertas catatanku.
Aku lihat Cikgu `M’ memerhati teliti catatanku di kertas. Dia terus terdiam. “Zul! Cikgu harap jangan beritahu perkara ini kepada sesiapa. Lain kali cikgu akan lebih berhati-hati. Diamkan saja perkara ini,” pintanya.
Cikgu `M’. Maaf, ya! Saya telah pun mungkir janji.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan