Pengalaman pertama ke sekolah menaiki bas amat mengujakan. Walaupun jaraknya cuma sekitar 13 Kilometer, diri merasa sudah besar kerana telah bersekolah menengah. Kami, budak-budak yang tinggal sekitar Batu 8 Labu terpaksa diminta ke Sekolah Menengah Datuk Mohd Said, Nilai yang baru setahun dibuka.
Sebelum itu semua budak kampung kami bersekolah menengah di Seremban yang jaraknya hampir kurang sama. Sekolah ini belum mempunyai bangunan sendiri dan terpaksa menumpang di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di situ.
Di sini aku bukan sahaja mula mengenal budak Melayu kampung lain tetapi mula tahu bergaul secara akrab dengan Tuminah, Mahendran, Sthumbu, Ah Keong dan Ah Wong.
Entah di mana tuahnya, kami – Asmah, Suriah, Zaharil, Razali, Said, Johari dan rakan lain yang sama bersekolah rendah sentiasa terkedepan dalam pelajaran. “Budak-budak Batu 8, Labu memang pandai-pandai,” itu antara kata-kata yang pernah didengar dulu.
Bagaimanapun kami sering juga diberi saingan sengit oleh Azam, budak Kampung Kubang, Dahlan (budak Kampung Lanjut) dan Shamsiah (budak Jijan). Normala, budak Kampung Salak Tinggi pula terkenal kerana keayuannya.
Akrabnya hubungan ketika itu bukan sekadar sesama rakan sekolah tapi turut kenal rapat pemandu dan konduktor bas. Masih ingat benar salah seorang pemandu bas yang kami naiki bernama Celet dan konduktor bernama Rajendran yang sering mendapat perhatian rakan-rakan perempuan kami.
Rajendran beberapa tahun kemudian bernama Shariff kerana bernikah dengan budak Kampung Bukit Buak. Shariff kemudiannya menjadi pemandu bas di tempat aku bertugas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan