Isnin, 6 Jun 2011

Cantas

Agaknya kerana ada nama, aku tidak perlu lobi-melobi malah dijemput pula `balik’ ke kampung untuk dicalonkan sebagai Setiausaha Pemuda Cawangan dan pada masa yang sama sebagai Ketua Penerangan Cawangan. “Orang berkebolehan macam kau patut tabur bakti di kampung kelahiran. Kau dikenal orang.” Begitulah antara hujah mereka.
      Benar kata mereka. Aku tidak melalui jalan sukar untuk menjawat kedua-dua jawatan itu malah pada tahun yang sama aku turut dilantik sebagai ahli jawatankuasa Biro Penerangan Bahagian.
      Bagaimanapun sebagaimana biasanya, sifat terus-terang aku sering mendatangkan masalah bukan sahaja kepada tetamu yang diundang dalam mesyuarat-mesyuarat parti tetapi di kalangan ahli jawatankuasa sendiri. “Mulut kau tu celupar sangat,” pernah aku diberitahu begitu.
      Ada alasan juga rakan-rakanku menegur begitu. Biasanya aku tidak mengira sangat pemimpin yang datang ke mesyuarat cawangan. Kalau hal itu membabitkan kepentingan ramai, aku tidak ragu-ragu menyebut hal ini walaupun ia boleh menyebabkan pemimpin yang datang itu tidak merasa selesa. Kalau aku fikir pendirianku itu boleh menyusahkan cawangan, biasanya aku menyebut `menurut pandangan peribadi saya’ walaupun ketika berdiri itu aku ialah Setiausaha Pemuda atau Ketua Penerangan Cawangan. Aku tidak kisah kalau dituduh tidak tahu protokol.
      Walau apapun tahun itu aku dipilih juga mewakili cawangan ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian. Mesyuarat tahun itu memang hebat. Ketua Bahagian yang telah lama memegang jawatan itu buat pertama kalinya akan dicabar. Memang hebat permainan politik ketika itu.
      Pada hari yang dinantikan, aku turut berpeluang bercakap. Aku tidak bercakap mengenai isu lain. Hanya isu pemilihan Ketua Bahagian.
      “Kalau kita sendiri mengaku kita pemimpin, mengapa kita tidak dapat menyelesaikan masalah pemilihan Ketua Bahagian sendiri. Dalam perebutan ini hanya dua orang yang terlibat tetapi mengapa kita yang di bawah ini diheret sama?” Ternyata kata-kata itu mendapat tepukan gemuruh.
      Mengikut catatan pengalaman, itulah kali pertama dan terakhir aku dapat mewakili cawangan ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian.

Tiada ulasan: