Selasa, 7 Jun 2011

Dicintai Dalam Diam

Sejak tingkatan satu hingga tingkatan lima, aku dilantik menjadi pengawas di sekolahku. Maka tidak hairanlah jika ramai pelajar yang mengenali diri. Sebagai pengawas, aku perlu sentiasa kelihatan kemas dan berketerampilan.
      Semasa di tingkatan lima, ada seorang pelajar perempuan yang sering menyapa dan melemparkan senyuman kepadaku. Dia pelajar tingkatan tiga, dan melalui rakan-rakan, aku mendapat tahu namanya Norliana.
     Norliana yang berkulit hitam manis dan berambut paras bahu itu rupa-rupanya tinggal berjiran dengan bapa saudaraku di sebuah taman perumahan yang jaraknya kira-kira 500 meter dari tempat tinggalku.
      Sebelum itu memang aku memang tidak tahu yang Norliana adalah jiran bapa saudaraku.
   Sehinggalah pada suatu hari, aku terserempak dengannya yang sedang bermain-main dengan adik-adiknya di hadapan rumahnya, ketika aku mengunjungi bapa saudaraku itu. Apabila ternampak kelibatku, dia yang kelihatan malu-malu terus berlari masuk ke rumah.
    Dan begitulah selalunya gelagat  Norliana setiap kali aku terserempak dengannya, setiap kali aku ke rumah bapa saudaraku.
       Selain itu, aku juga terperasan setiap kali aku terserempak dengan  Norliana dan rakan-rakannya di sekolah, ada di antara mereka yang seakan-akan berbisik-bisik sambil menjeling kepadaku. Tetapi aku tidak pernah ambil peduli semua itu. Aku hanya sekadar tersenyum kepada mereka.
     Sehinggalah pada suatu hari, bapa saudaraku menyindirku di depan ibu dengan kata-kata, “Tengoklah anak Kak Long ni… patut pun selalu kemas,... rambut berminyak… rupa-rupanya ada udang di sebalik batu.”
     Aku agak terkejut dengan kata-kata bapa saudaraku yang aku panggil Pak Su itu. “Apa maksud Pak Su ni..?” soalku dengan hairan.
      “Hai.., pura-pura tak tahu pula. Orang lain pergi sekolah nak belajar. Kamu pergi sekolah nak bercinta… betul tak?”  ujar Pak Su dengan sindiran sinisnya.
       Sekali lagi aku begitu terkejut dengan dakwaan Pak Su.
      Namun setelah aku mendesak berkali-kali, barulah Pak Su beterus-terang perkara yang sebenar. Kata Pak Su, Norliana pernah memberitahu kepadanya bahawa aku adalah kekasihnya dan kami sedang bercinta.
       Bila Pak Su bertanya Norliana, bila masanya dia selalu bertemu denganku? Maka jelas Norliana, bahawa kami sering bertemu di sekolah, sama ada  sebelum bermulanya waktu belajar atau ketika waktu rehat. Namun aku terpaksa menafikan sekeras-kerasnya.
    Keesokannya, aku berjumapa dengan Norliana di sekolah. Aku marahkan Norliana kerana menyebarkan cerita palsu mengenai perhubungan kami. Namun Norliana dengan seikhlas hati menyatakan padaku, sesungguhnya dia memang mencintaiku dalam diam, kerana dia tertarik dengan sikap dan tingkah lakuku.
    Bagaimanapun, aku terpaksa menolak cinta Norliana. Kerana aku belum bersedia untuk bercinta dan aku juga tidak mencintainya.
       Aku tahu, Norliana agak kecewa dengan keputusanku itu.
oleh: Mazemie Maz

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

HEHE.....