Kampung Pelegong yang pada zaman modennya telah menjadi homestay pertama di Negeri Sembilan adalah antara cikguku yang cukup berkesan.
Waktu itu kampung ini ditakrifkan sebagai kampung terpencil dan ulu. Apatah lagi rumahku berada di Kampung Pelegong Ulu. Rumah yang berada di kawasan awal jalan dipanggil Kampung Pelegung Tengah.
Tenang, syahdu, sejuk dan … Aaah…! Aku tidak mempunyai kekuatan untuk menggambarkan betapa hebatnya kampung kami ketika itu. Selain kehijauan sawah, kedudukannya di pinggir bukit benar-benar menjadikan kampung kami the typical Malay kampong.
Di sungai kampung inilah tempat kami mengail dan mengoca. Di ulu sungainya pula tempat kami berkelah. Di sini Allah anugerahkan air terjun yang cantik yang kemudiannya dinamakan Jeram Tebrau.
Kawasan semak dan hutannya pula tempat kami melastik dan menggetah burung. Kawasan sawahnya tempat kami menangguk puyu, haruan dan sembilang. Hingga kini aku masih terbau wangi lumpurnya,
Sidek Ahmad adalah antara yang tertua di kalangan kami. Hendak dikatakan tua sangat tidak juga. Cuma berbeza umur dua atau tiga tahun. Bagaimanapun Sideklah ketua kami.
Kami – Ayun, Nordin, Ajoi, Nasir, Khidir, Halim, Ami dan lain-lain memang cukup setia dengannya. Apa-apa yang dikatakan kami turuti. Apa-apa yang disuruhnya, kami lakukan. Kami tidak berkawan sangat dengan Kiting dan Kitang yang jauh lebih tua ketika itu.
Seronoknya, Sidek bukan saja pemimpin kami di sungai, di semak dan di hutan malah dialah yang mengetuai pasukan kami setiap awal pagi untuk ke sekolah.
Jarak Kampung Pelegong ke Sekolah Kebangsaan Labu Ulu kira-kira tiga Kilometer. Kami berjalan kaki di denai sambil beg sekolah disangkutkan kepada anak kayu bercabang yang kami sifatkan motosikal.
Apabila menghampiri jalan keretapi, biasanya kami singgah dulu di kedai Hasan Mahani untuk membeli kueh. Kuatnya pengaruh Sidek, terserlah. Sekiranya dia membeli karipap, kesemua kami akan membeli karipap juga. Kalau dia membeli kueh bantal peluk (roti dadar) kami juga membelinya dengan duit belanja 10 sen yang dibekalkan emak dan abah masing-masing.
Sambil makan kami menyanyi riang mendaki tebing jalan ke jambatan keretapi sebelum menyusurnya ke sekolah. Di sini sekali lagi keprihatinan Sidek terbukti. Tubuh kami yang kecil dipapahnya lembut menyeberang jambatan yang agak jarang susunan kayu `seliparnya.’
Masih terhidu bau besi jambatan di awal pagi yang berbaur dengan bau hancing kencing penumpang keretapi yang lalu walaupun agak jarak waktunya. Sambil bergurau kami melompat satu persatu `selipar’ landasan dan segera berlari ke sisi jalan apabila mendengar bunyi keretapi atau terlihat dari jauh asapnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan