Cadangan aku supaya masjid menjalankan kelas mengaji Al-Quran diterima Jawatankuasa Latihan dan Pendidikan. Begitu juga di peringkat Jawatankuasa Induk Masjid Kariah Paroi Jaya. Sebagai setiausaha, aku mula mencetak borang penyertaan.
Aku lega. Hasrat untuk melihat masjid sentiasa diimarahkan sepanjang waktu akan menjadi kenyataan. Ingin benar aku melihat masjid kembali kepada salah satu fungsi asasnya – sebagai institusi pendidikan juga.
Bangganya aku nanti melihat anak-anak yang masih kecil berduyun-duyun ke masjid untuk belajar muqadam atau Al-Quran dari jam 2.00 petang hingga masuk waktu Asar.
Ahli kariah yang berkemampuan, akan diminta menjadi gurunya – bukan kosong. Bayaran RM30.00 seorang, sebulan yang dikenakan akan diserahkan semuanya kepada mereka tanda penghargaan.
Sekarang bukan senang hendak cari guru mengaji; bukan macam dulu. Aku sendiri terpaksa mengundang ustaz datang ke rumah. Selain anakku Siti Adibah, aku juga tumpang belajar membetulkan tajwid. Khidmat yang dikenakan RM25.00 sejam. Itu murah. Waktu aku jadi pensyarah dulu, aku dibayar antara RM150.00 ke RM300.00 sejam.
Sepertimana yang dipersetujui, borang penyertaan dicetak 150 salinan dan diletakkan di pintu masuk masjid Jumaat itu.
Pengumuman dibuat melalui projektor LCD sebelum waktu Jumaat. Tidak sabar rasanya aku menunggu maklumbalas ahli kariah pada Jumaat depannya.
Jumaat depannya, pengumuman dibuat lagi. Selepas waktu Jumaat aku cuba mencari bekas meletakkan borang penyertaan. Aku terkejut. Borang tiada, bekas plastik turut hilang.
Kami ahli jawatankuasa tidak berputus asa. Borang dicetak lagi. Pengumuman dibuat juga. Bekas plastik diganti peti aluminium yang besar dan berdiri gagah berhampiran pintu masuk utama. Peti itu dilabelkan.
Minggu depan tunggu lagi. Setelah tiga minggu berlalu, tiada satu borangpun tiba. Maka tiba-tiba aku teringat sebahagian teori pengajaranku sewaktu bertugas dulu. "Jangan buat program tanpa need analysis (analisis keperluan). Nanti dikatakan program syok sendiri."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan