Bustamam memang baik. Bustamam memang pemurah. Selain sering membelanja kami stringer yang bertugas di bawahnya, Bustamam tidak lokek menyerahkan assignment. Jumlah assignment yang banyak membolehkan kami stringer yang dibayar berdasarkan story yang tersiar, boleh buat duit sedikit.
Kalau dapat Ketua Biro yang nak kemut semua pastilah kami dapat tulis story yang kecil-kecil atau pendek sahaja. Bila pendek tentulah pendek bayarannya. Ketika itu kadar bayaran kepada stringer ialah RM1.20 per inci per kolum.
Sebenarnya aku sempat lari seketika ke akhbar lawan apabila mengetahui akhbar utama itu akan meletakkan staf sepenuh masa iaitu Bustamam, sedangkan sebelum itu aku ialah satu-satunya stringer yang sentiasa di pejabat. Macam staf sepenuh masa.
Bagaimanapun rajukku tidak lama. Aku rasa macam tidak selesa di situ. Kata putus dibuat apabila akhbar itu menyiarkan story penafian seorang Ketua Bahagian yang ditulis oleh stringer lain terhadap story aku buat, yang tersiar hari itu. Secara lojik aku terfikir, “takkan akhbar yang sama menafi storynya sendiri.”
Oleh sebab itulah apabila ada semacam usaha memujuk supaya aku kembali bertugas di situ, aku terima sahaja. Apatah lagi Bustamam semacam berjanji bahawa kehadirannya sebagai Ketua Biro tidak akan menyekat peluangku.
Dia mengotakan janjinya. Bustamam menyerahkan sepenuhnya laporan sukan kepadaku, di samping boleh menulis apa sahaja yang aku suka. Kalau kurang pun, aku tidak berpeluang sangat membuat liputan kegiatan Menteri Besar macam dahulu. Aku faham. Kalau semua stringer buat, apa tugas Ketua Biro?
Oleh sebab itulah apabila berkumpul sesama kami termasuk teman daripada akhbar lain, kadang-kadang terkeluar juga pujian kami kepada Bustamam.
“Siapa boleh lawan staff correspondent kami.”
“Memanglah dia suka dapat orang rajin macam kau orang semua. Siapa yang tak suka kurang kerja. Petang-petang pula boleh main bola dan tak takut kena scoop,” teman-teman itu menyerang kami kembali.
Kami terdiam. Kami tidak ada peluru lagi untuk menembak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan