Waad sebagai pengapit di hari perkahwinanku - 12 April 1980 |
Aku mengkategorikannya sebagai kawan baik kerana tarafnya sampai jadi best-man (pengapit) sewaktu aku berkahwin dulu.
Hanya sewaktu menulis cerita ini baru aku terfikir mengapa aku tidak jumpa beliau sebaik-baik beliau diumumkan sebagai calon untuk mengucapkan tahniah. Ramai kawan yang mengejek, “tak pandai betul ambil peluang.” Entahlah!
Yang pasti selain menjadi guru, aku berkhidmat sebagai stringer Berita Harian ketika itu. Sibuk sangat kah? Aku fikir itu bukan alasan yang tepat. Apa yang pasti, itulah sikapku. Rasa bersalah sangat apabila berkawan atau sudah kenal seseorang; kemudiannya minta sesuatu.
Hanya setelah dua hari selepas hari penamaan calon, aku diberitahu oleh Shariff Ahmad, rakanku yang berkhidmat dengan Utusan. “Kawan kau sedang marah sangat tu. Sudahlah kau tak tolong, kau tulis pula cerita 13 Cawangan tak sokong pencalonannya.”
Sehinggalah rakanku itu terus dicalonkan dalam beberapa pilihanraya umum kemudiannya dan dilantik sebagai EXCO Pendidikan, aku tidak pernah berasa hati dengannya. Malah aku bersikap seperti biasa, seperti sewaktu berkawan dahulu apabila bertemu di mana-mana.
Yang aku sedar berita `13 cawangan tak setuju pemilhannya’ turut menyumbang kemenangannya. Ini kerana aku tahu orang sekeliling calon lebih suka mengambil jalan mudah `kita boleh menang punya’ tanpa ada usaha yang sungguh-sungguh. Apa salahnya aku memberikan mereka satu sentakan? Barulah bergerak jentera pilihanraya.
Hanya kira-kira setahun lalu, perhubungan kami lebih rapat. Beliau tidak lupa menjemputku ke majlis perkahwinan anak sulungnya dan baru-baru ini ke majlis cukur jambul cucunya bersempena sambutan Hari Raya.
Bagaimanapun baru-baru ini aku tersentak lagi, sama seperti kira-kira 25 tahun lalu. Melalui Berita TV, wajah rakanku keluar lagi. Kali ini kes rayuan mahkamahnya gagal. Dia terpaksa ke penjara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan