Cuti hujung tahun itu, aku sekeluarga ke Singapura sekali lagi. Kali ini menaiki keretapi malam Seremban-Tanjung Pagar. Selain ingin membeli-belah di Orchard Road, kami ingin sangat merasa MRT, sistem transit ringan yang belum diperkenalkan di Kuala Lumpur lagi.
Sewaktu di sana, kami mengambil kesempatan menaiki MRT dari hujung perjalanan hingga ke penghujung perjalanan – dari Orchard Road ke Pasir Ris dan sebagainya.
Sewaktu hendak pulang ke Johor Bahru, kami membeli tiket di mesin. Apa yang aku tahu Woodlands adalah destinasi akhir sebelum ke Tambak Johor. Bagaimanapun apa yang memeranjatkan, sewaktu dalam MRT baru kami tahu ada stesen lain selepas Woodlands yang membolehkan kami melalui pemeriksaan kastam.
Dengan tidak berfikir panjang, kami tidak berhenti di Woodlands walaupun itulah destinasi yang tercatat pada tiket.
Oleh kerana bimbangkan mesin tiket dapat mengesan destinasi kami sewaktu turun, kami anak beranak sanggup tunduk di bawah besi penghadang mesin itu untuk keluar.
Terkenangkan aku pernah ditahan sewaktu berkereta dahulu, aku masih tidak dapat membayangkan apakah tindakan yang sama dikenakan jika aku ke sana lagi.
Aku hanya akan dapat menguji sistem keselamatan negara jiran, sekiranya aku ke sana lagi selepas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan