Sepanjang kira-kira 15 tahun terbabit secara aktif sebagai pemberita sambilan, aku boleh mengkategorikan tokoh ini sebagai sumber berita nombor satu. Gelaran ini wajar diberikan kerana setiap kali menelefon atau menemuinya ada sahaja bahan berita yang aku peroleh daripadanya.
Seronoknya, sekali bertemu atau menelefonnya bahan yang diperoleh bukan satu - kadang-kadang boleh buat dua tiga story. Satu boleh hantar pada hari berkenaan dan bakinya boleh simpan esok dan lusa.
Aku pasti story itu eksklusif untukku. Tidak ada rakan pemberita lain yang tahu. Oleh sebab itulah aku selalu dapat scoop cerita sukan; secara khususnya bola sepak.
Sumber berita aku ini Kapten (B) Ahmad Hadi Kassim, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan. Kenyataan akhbar berserta fotonya sering sahaja jadi bahan utama muka sukan. Dia cukup popular.
Sebahagian besar berita yang tersiar tertulis namanya sebagai sumber berita. Bagaimanapun ada juga yang tiada namanya khususnya cerita-cerita dalaman (inside-stories). Masa ini aku lebih senang menyebutnya sebagai `menurut sumber yang boleh dipercayai.’
Aku tidak pasti siapa yang menggunakan siapa. Apa yang pasti aku cukup percaya dengan sumber beritaku ini. Tidak pernah dia berbohong.
Sebagai bekas pegawai tentera, Ahmad Hadi turut menggunakan perang saraf terhadap lawan dan pendekatan itu turut digunakan kepada skuad di bawah pimpinannya.
Ketika heboh diperkatakan mengenai ada pemainnya yang menjual perlawanan, dia terus mengakuinya. “Kau boleh tulis tapi jangan tulis nama aku,” pesannya.
Aku scoop lagi malah dengan berani membayangkan pemain utama yang menjual perlawanan. Besoknya keluar cerita besar lagi.
Bagaikan tahu dia yang dimaksudkan, pemain berkenaan menghubungi aku di pejabat pada petang harinya. Beliau ingin tahu siapa sumber beritaku. Sebagaimana biasa kami merahsiakan sumber berita. Beliau terus mendesak ingin tahu.
Tidak cukup dengan panggilan itu, beberapa minit kemudian aku menerima panggilan daripada isteri pemain tersebut. Malah dengan berani beliau mengugutku untuk mengambil tindakan mahkamah.
Oleh sebab aku telah dimaklumkan oleh sumberku itulah pemain yang dimaksudkan, dengan nada cukup berani aku terus menjawab,” Ambillah tindakan!”.
Sehingga kini aku tidak pernah didakwa di mahkamah kerana tulisanku. Apa yang pasti, pemain berkenaan kemudiannya diberi kepercayaan melatih skuad kebangsaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan