Ahad, 31 Julai 2011

Think Big


Selain mengikuti kursus teras, aku turut mengambil subjek Media Dalam Pendidikan sebagai minor. Oleh kerana lama terlibat dalam bidang Teknologi Pendidikan dan media, aku ingin memanfaatkan kelas Dr. Bob Houlton untuk mengetahui lebih mendalam bagaimana media boleh membantu proses pengajaran dan pembelajaran.
      Antara aktiviti kuliah ialah mengendalikan stesen radio dan operasi rakaman video multi-camera (MCP). Seronok sekali kuliah ini. Kami sempat menghasilkan pelbagai rancangan.
      Lebih beruntung, salah seorang rakan sekuliah kami, Ding, pelajar dari Thailand pernah menang Wartawan Penyiaran Terbaik Thailand 1994. Ding turut mengongsi pengalaman dengan kami.
      Oleh kerana memang berminat dalam bidang penerbitan televisyen, peluang mengendalikan kamera studio yang besar memungkinkan aku memasang angan-angan untuk memiliki kamera besar; setidak-tidaknya Panasonic NV7 – cuma kamera berformat VHS. Pada waktu itu aku sudah mempunyai handycam Sony.
      Hendak membeli Sony Betacam seperti yang aku gunakan di studio universiti tentu tidak mampu. Setidak-tidaknya saiz kamera itu membolehkan aku dilihat sebagai jurukamera profesional, cukuplah.
      ”Orang Malaysia selalu percaya pada yang besar,” fikirku. Banyak cerita aku dengar jurukamera amatur yang membawa handycam tidak mendapat keyakinan ibu bapa pengantin untuk mengambil upah merakamkan peristiwa.
      Dalam pada itu, seorang rakan sekuliah dari Nigeria mencadangkan kepadaku supaya membeli Sony Betacam melaluinya. Beliau yang juga bekerja dengan stesen televisyen mengatakan boleh mendapatkan kamera jenis itu dengan harga murah melalui peruntukan khas `negara dunia ketiga’ yang berpusat di Germany.
      Apa lagi. Aku terus memasang angan-angan tinggi.
      Bagaimanapun angan-angan itu terus aku lupakan selepas kuliah Dr. Bob Houlton pagi itu. Sewaktu beliau berkongsi pengalaman hasil kunjungannya ke Amerika Syarikat untuk membentang kertas kerja, Dr. Bob Houlton menunjukkan rakaman video yang dihasilkannya.
      Rakaman itu dimainkan terus daripada handycamnya yang lebih kecil daripada yang aku miliki.
      ”Cukup mudah hari ini. Ringan dan mudah dibawa ke mana-mana di samping tidak mengetepikan mutu rakaman,” katanya.
      ”Saya juga boleh menonton hasil rakaman sewaktu dalam perjalanan.
      ”Sayapun berasa hairan, bagaimana orang lebih percaya kepada benda yang besar sedangkan benda kecil seperti ini lebih baik daripadanya,” tambahnya.
      ”Kualiti video Hi-8 yang saya gunakan ini tentu lebih baik daripada VHS,” katanya.
      Aku akur.           

Lelaki Tua Itu (Bahagian 1)

KESIBUKAN dengan tugas membuatkanku tidak pedulikan kumpulan Facebook ini. Di hati kecilku sudah pasti terdetik rasa kecewa di hati seorang lelaki tua bernama Zulkifli Abu.
     "Sampai hati kau Ramli, kalau lupakan aku... ini Cikgu Zul tau, kau tak pedulikan aku... takpe, takpe... nanti kau mesti cari aku." Aku terfikir mungkin lelaki tua yang dulu, kini dan selamanya ku panggil Cikgu Zul itu akan bermadah demikian kerana kekecewaannya.
     Kini, pada dinihari dan bersaksikan jelmaan kecerdikan manusia dinamakan komputer ini, aku secara berlapang dada ingin mencoret sesuatu di ruang dinamakan wall atau dinding Facebook ini. Ini barulah siri pertama. Kedua, ketiga dan selanjutnya akan menyusul. Itupun kalau diizinkan oleh lelaki itu.
     Dulunya di STTJ, namaku dan nama Zulkifli Abu sangat sinonim. Rakan-rakan menggelarku sebagai 'anak didik Cikgu Zul'. Masa tertentu aku suka dengan gelaran itu. Pada masa yang lain aku rimas kerana gelaran itu juga membuatkan sesetengah rakan menjauhkan diri daripadaku.
     Pengalaman paling tidak dilupakan apabila aku "curi keluar malam" makan bersama-sama rakan seasrama di benteng Ampangan. Selesai menjamah makanan nasi goreng di benteng itu, kami terus pulang.
     Dalam keadaan sangat berhati-hati, kami pandang kiri dan kanan. "Rip, rap, rip, rap.... buuuup!" Seorang demi seorang kami memanjat pagar berdekatan pintu masuk. Jarum jam di tangan ketika itu menunjukkan angka 11 malam.
     Secara tiba-tiba muncul lelaki bernama Cikgu Zul itu di kaki lima bangunan sekolah. Memandang tepat ke wajahku... (bersambung).
oleh: Ramli Karim

nota: Sebagai pemilik gelar `Lelaki Tua Itu’, saya izinkan saudara meneruskan cerita...

Sebuah Teksi dan Hujan


Tahun 1984.  Saya memulakan tugas sebagai guru lepasan maktab perguruan di sebuah sekolah menengah di Sik, Kedah.  Di Kedah hari Ahad ialah hari persekolahan.  Jadi, petang Sabtu saya perlu balik ke rumah sewaan. 
     Saya menunggu teksi di pekan Gurun untuk ke Sik.  Waktu itu perkhidmatan bas tidak ada yang sampai ke Sik.  Kebetulan pula waktu itu bulan puasa.  Saya perlu cepat kerana jarak antara Gurun dengan Sik melebihi 30 kilometer. 
     Akhirnya, saya menaiki sebuah teksi yang uzur, dan dipandu oleh seorang pemandu yang agak lanjut usianya.  Saya duduk di tempat duduk depan di sebelah pemandu itu.  Saya harap dapat berbual-bual untuk mengisi masa di sepanjang perjalanan melalui kawasan hutan, kebun getah, dan ladang kelapa sawit.
     Dalam perjalanan, tiba-tiba cuaca berubah.  Langit gelap menandakan hujan lebat akan turun. Jangkaan saya betul.  Hujan lebat telah turun dan mengaburi cermin depan teksi yang saya tumpang.
     “Pakcik, pasang wiper!,”   kata saya setelah melihat pemandu itu tidak menghidupkan pengelap cermin hadapan teksinya.  Namun kata-kata saya seolah-olah tidak didengari.  Pemandu itu hanya mengambil sehelai kain buruk dan mengelap bahagian dalam cerminnya.  Saya hanya menantikan dia menghidupkan pengelap cerminnya.
     Setelah beberapa ketika berlalu, hujan semakin lebat. Jarak pandangan semakin terhad.  Namun tidak ada tanda-tanda pemandu itu akan menghidupkan pengelap cerminnya.  Saya menjeling ke arah pemandu itu.  Dia hanya berwajah selamba dan memandu seperti biasa dengan kelajuan yang rendah. 
     Saya mula berasa bimbang apabila teksi tersebut beberapa kali tersasar dan jatuh di kaki lima jalan.  Oleh sebab jalan yang agak berliku-liku, saya mula takut sesuatu yang buruk akan berlaku. Penumpang di belakang pula seorang wanita separuh umur.  Dia hanya berdiam diri tanpa berkata apa-apa.  Dia hanya memanjangkan lehernya untuk melihat sama ada tempat yang dituju sudah sampai.
     “Berhenti!”   tiba-tiba wanita itu bersuara.  Pemandu teksi tersebut membelok ke kiri jalan. Di luar hujan masih menggila.  Cermin hadapan seperti kepingan logam yang legap.  Hanya titisan-titisan hujan kelihatan menutupi setiap ruang pandangan mata.
     “Bukan!  Belum sampai lagi...!”  tiba-tiba wanita itu berkata.  Tanpa berkata apa-apa pemandu teksi itu meneruskan perjalanan.  Saya mula berasa gelisah.  Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 6.30 lebih.  Kalau terlambat, saya tidak dapat membeli makanan untuk berbuka puasa sesampainya saya di Sik nanti.  Kalau begitu keadaannya, memang kerisauan saya bersebab.  Perjalanan kami memang sangat lembab petang itu.
     “Berhenti!”  sekali lagi wanita itu bersuara dengan tiba-tiba. Sekali lagi pemandu teksi itu membelok ke kiri.  Wanita itu pun bertanya akan bayaran tambang.  Ketika itulah saya ternampak suis  pengelap cermin di sebelah stering teksi uzur tersebut.  Ketika pemandu teksi itu sibuk mengembalikan wang baki kepada penumpang tersebut, saya menekan suis pengelap cermin berkenaan, dengan harapan cermin depan itu bersih dan pandangan lebih jelas.  Sejak tadi saya mula berasa hairan pemandu teksi itu tidak menekan suis yang dimaksudkan.
     Tidak semena-mena kedua-dua pengilap cermin membidas dan tercampak ke atas jalan.  Saya terkejut melihat hanya dua batang besi kontot terbias-bias di atas cermin depan.  Bahagian pengelap yang diperbuat daripada getah sudah hilang entah ke mana.  Serentak dengan itu pemandu berkenaan memandang saya dengan wajah kosong.
     Pemandu itu mematikan suis pengelapnya.  Kemudian dia membuka pintu teksinya.  Saya melihat dia mencari-cari bahagian yang tercampak tadi di atas jalan.  Kemudian dia masuk semula ke dalam teksi sambil membawa pengelap getah dan dicampakkan ke bawah.  Seluruh tubuhnya basah kuyup.  Selepas mengelap mukanya, dia meneruskan perjalanan tanpa berkata apa-apa.
     Saya berasa sangat bersalah dan meminta maaf beberapa kali.  Baru saya sedar sebab dia tidak menghidupkan pengelap cermin depan teksi uzur itu.  Rupa-rupanya pengelap cermin itu hanya diletakkan sebagai hiasan sahaja.
     Selepas itu saya tidak berbual dengannya lagi.  Hanya deru suara hujan kedengaran.  Di dalam minda saya, pelbagai perasaan bergentayangan.  Ada lucu, ada sedih, ada cemas. Akan tetapi pemandu teksi itu hanya menjalankan tugasnya tanpa sebarang keluhan.
     Pukul tujuh lebih, kami baru sampai ke pekan Sik.  Hujan mula reda.  Namun, sebagai sebuah pekan di pedalaman negeri Kedah, suasananya sudah sunyi. Tidak ada restoren yang beroperasi kecuali restoren milik peniaga Cina.
     “Pakcik, kita berhenti minum dulu.  Dah nak buka puasa ni!”   aku memberanikan diri untuk bersuara setelah lama kami mendiamkan diri.
     Petang itu saya berbuka puasa dengan secawan teh di sebuah restoren Cina bersama-sama pemandu teksi yang basah kuyup. Setiap kali tibanya Ramadan, kenangan ini kembali segar dalam jiwa saya walaupun sudah hampir 30 tahun peristiwa itu berlaku.
oleh: Ghazali Lateh

Sabtu, 30 Julai 2011

Belalang Sawah dan Belut Goreng

Semasa aku berusia  enam dan tujuh tahun dulu pernah juga aku merasa kehidupan sebagai anak pesawah padi. Arwah bapak aku membina rumah di kawasan sawah padi kira-kira 50 meter dari sungai. Rumah itu dibina di tanah pesaka.
     Kebetulan arwah bapakku tiada kuarters kerajaan yang sesuai di samping dapat bersawah menambah pendapatan, maklum sajalah anak-anak ramai. Masa itu dapatlah aku merasa suasana musim tengkujuh. Banjir sampai separuh tenggelam rumahku. Terlalu banyak kenangan manis ketika itu tapi kali ini aku nak cerita pasal belalang sawah dan belut sawah.
     Salah satu musuh padi ialah belalang sawah, walaupun kecil tapi bila sampai musimnya beribu-ribu yang datang yang menyebabkan padi rosak. Masa belalang banyak inilah, aku dan abang-abang ambil kesempatan menangkap belalang itu untuk dimusnahkan. Biasanya kami guna kain batik emak untuk tebar macam jala ikan.
     Apa yang seronoknya sebahagian daripadanya kami ambil untuk dimakan. Pelik juga bukan? Belalang ini bukan boleh dimakan begitu sahaja. Terlebih dahulu, buangkan kepaknya kemudian digoreng. Apabila sudah banyak memang sedap dimakan - kira macam makan ikan bilis goreng. He! He! He!
     Ini  pasal belut pulak. Waktu ini belut sangat bernilai komersial. Dulu orang tak pandang belut. Maklum sajalah dengan rupanya yang semacam ular, berbadan licin dan susah pula hendak dipegang.
     Kalau di sawah, belut ni hidup atau buat rumah berupa lubang pada permatang sawah. Kalau nampak ada lubang-lubang sebesar ibu jari kaki pada permatang, biasanya ada belut, tapi jangan salah lubang, silap-silap lubang ular!
     Kalau hendak menangkap belut, semasa dia bergerak dalam sawah memang susah. Jadi kami guna kaedah lain, tapi ada risiko kalau tersilap lubang. Apa yang kami buat, balut hujung jari telunjuk dengan kain perca, sapukan kain perca itu dengan belacan. Selepas itu masukkan hujung jari tadi ke dalam lubang. Kalau belut itu ada di dalam lubang, dalam beberapa minit, hujung jari tu digigit. Selepas itu cepat-cepat tarik jari dengan belut masih melekat menggigit hujung jari. Bagaimanapun kita perlu menyediakan abu dapur pada tapak tangan supaya senang hendak  pegang belut itu.
     Belut sedap dimakan kalau digoreng campur kunyit. Dagingnya pejal dan manis. Di samping itu ia tidak bertulang macam ikan. Bagaimanapun  ada orang tak lalu nak makan, dia cakap macam ular. Cubalah makan belalang sawah dan belut goreng!
oleh: Idris Mohamad

Kebahagiaan Itu Bukan Milikku

Khamis – 5 Jun, tanpa dirancang akhirnya aku berpindah juga ke sebuah rumah teres tiga tingkat di bandar Idaman itu. Hanya lima kilometer jaraknya dari pejabat. Sebelum ini aku pernah ditawarkan pangsapuri tiga bilik. Sebuah bilik kujadikan bilik tetamu. Agak luas juga untuk kududuk bersama anak lelakiku tetapi oleh kerana telah biasa dengan ahli keluarga yang ramai, ada kalanya aku rasa kesunyian juga. Lantas aku pulangkan semula dan berulang dari kediaman asal sejauh 85 kilometer.
     Tapi kini aku benar-benar nekad untuk tinggal di bandar Idaman. Memang tiada pilihan. Semua pembayaran deposit telah diuruskan. Bagai nak pengsan aku mengekori anakku menguruskan segala keperluan sebaik sahaja aku buat keputusan untuk berpindah. Kediaman yang kududuki kini lebih luas dan selesa.
     Sehari selepas berpindah aku membawa ibuku yang sudah uzur itu bermastautin bersamaku. Umur ibuku yang sudah lanjut itu menyebabkan dia tidak lancar lagi untuk ke sana ke mari. Kesihatannya agak terjejas sejak tiga tahun yang lalu. Pernafasannya dibantu dengan menggunakan bateri atau pacemaker yang diperoleh daripada rawatan jantung di Institut Jantung Negara beberapa tahun dulu.
     Aku menyediakan sebuah katil di ruang tepi tingkap sudut sebuah bilik yang agak luas untuk ibu. Barang-barang masih banyak yang belum bersusun. Walaupun telah lewat, malam itu aku tetap menemani ibu tidur. Kepenatan yang amat sangat menyebabkan aku terus terlena sebaik sahaja merebahkan badan di sisinya. Langsung aku tak tahu apa berlaku selepas itu. Suara ibu, rengek ibu, keluhan ibu, zikir ibu langsung aku tak sedar.
     Bukan aku sebenarnya yang menjaga ibu pada malam itu. Tilam empuk tempat lenaku betul-betul telah melayaniku seenaknya sehingga aku terus dibuai mimpi di sisi ibu.
     Anak bongsu dan anak ketigakulah yang melayani ibuku pada malam itu. Merekalah yang melayani kerenah ibu. Berbual-bual dengan ibu, menghantar ibu ke bilik air, menukarkan baju ibu yang basah, menyapu minyak dan mengurut kaki ibu, dan melayani suara mengaduh ibu.
     Sebelum ini ada bibik yang menjaga ibu. Tetapi hanya setelah tiga bulan, bibik meninggalkan rumah ketika subuh-subuh hari.
     Dia yang kubelai dengan lembut kata, dia yang kutabur dengan manis senyum, dia yang kupujuk dan kuumpan dengan pakaian segala, akhirnya lari juga mengikut jantan dari warga negaranya.
     Betapa ibu jenuh terkial-kial berjalan ke serata rumah jiran memanggil-manggil dan mencari bibik, bibik tetap tiada. Bibik tekad. Perancangan rupa-rupanya telah diatur rapi.
     Pernah hatiku terasa curiga apabila barang yang dibeli cepat benar habisnya. Milo satu tin besar tak sampai dua minggu. Ayam, ikan segar berkilo-kilo sering tak sampai tiga hari. Malah ikan asin kesukaan ibu pun cepat sangat habis dimasak semuanya.
     Setiap kali sebelum pulang aku tanya bibik. Apa lagi barang yang tiada di rumah?” Bibik kata, ”... telur, gula, sabun cuci puan...”
”Eh, kan baru tiga hari beli telur satu tray, semalam beli gula, kelmarin beli sabun cuci kotak besar! Bukan ramai sangat yang makan di rumah tu.”
     ”Heh, tak apalah. Beli je. Lepas ni beritahu bibik supaya berjimat.” Bisik hati kecilku.
     Pun begitu dilayan bibik, bibik tetap pergi. Pergi dengan meninggalkan permit dan pasport asalnya, pergi bersama kekasih barunya, pergi mencari kerja kilang yang lebih bebas dari terkongkong seperti menjaga makan minum ibu.
     Kini aku rasa bahagia benar apabila ibu dapat kubawa tinggal bersamaku. Memang itu yang kudoa selalu. Ingin benar kumelayani ibu dalam usianya yang begitu.
     Ibu kini segala-galanya perlu dibantu. Dia tidak boleh berdiri setegap dulu. Pun tidak boleh berkata-kata selancar dulu. Badannya telah mula lemah. Kata-katanya telah mula sepi. Pandangannya telah mula kabur. Makannya perlu disuap. Pakaiannya perlu disarungkan. Mandinya perlu disabunkan. Tapi ibu masih boleh mengenali anak cucunya melalui deria pendengarannya.
     Betapa terharunya aku, waktu ibu akan dimandikan suatu pagi di hujung minggu. Anak-anakku berebut-rebut hendak menjirus badan ibu. Yang sulung mengangkat kerusi mandian ke bilik air supaya ibu selesa bertenggong semasa dimandikan. Yang kedua telah sedia memegang bekas syampoo dan mandian sambil berdiri di sisi kolah. Yang ketiga bersandar di daun pintu bilik air sambil bercekak pinggang manakala tangan kirinya memegang tuala mandi yang tersangkut di bahunya. Yang satu-satunya anak lelakiku telah membuka pancuran sambil tangan kirinya merasa kepanasan air yang mula disembur perlahan. Yang kelima memerhati dari jauh sambil memegang cawan dan sudu untuk membancuh milo panas untuk ibu. Manakala yang bongsu menyediakan pakaian baru dan bedak sikat untuk dipakai ibu.
     ”Abang, keluarlah. Biar kami yang buat,” perintah anak kelimaku.
”Abang nak jugak mandikan Wan...” jawab anak bujangku sambil menyabun badan ibu yang berkain basahan.
     ”Abang lelaki!” tingkas yang bongsu.
     ”Ala, takpe. Abang tolong jirus je.” Anak lelakiku mempertahankan hujahnya.
     Ibu tak berkata apa-apa semasa dimandikan. Dijirus, ibu diam. Disabunkan, ibu diam. Ibu seolah-olah anak patung dijadikan putera puteriku. Dibuat macam mana pun ibu tetap diam. Ibu tetap patuh.
     ”Ok, Wan, kencing...”
     ”Dah..” ibu bersuara perlahan dengan susah payah antara dengar dengan tidak.
     ”Abang, jirus. Jirus bersih-bersih.” Perintah seorang anakku sambil menyelak kain basahan yang dipakai ibu.
     ”Wan, bangun.”
     “Pegang wan, nanti jatuh.”
     “Ok. Bawa wan ke bilik. Pakaikan baju yang baru dibeli tu…”
     Sampai di bilik, ibu dilap kering-kering. Rambut ibu yang basah dianginkan dengan penghawa dingin supaya cepat kering. Ibu dibedak. Ibu dipakaikan baju kurung kedah warna unggu dan kain batik berbunga tanah hitam yang diperoleh sempena hari jadinya semalam. Rambut ibu disikat.
     Setelah ibu disiapkan dengan kemas ibu dibawa ke meja makan untuk bersarapan.
     ”Banyak sangat nasi goreng tu. Kurangkan sikit. Wan tak boleh makan banyak. Nanti senak perut.”
     ”Tidak apa. Kita ada simpan Eno Halia.”
     ”Tak baik minum Eno selalu.”
     Yang sulung menyuapkan nasi goreng ke mulut ibu. Ibu mengunyah dengan susah payah.
     ’”Keras ye Wan?” Ibu tersenyum tawar tetapi masih setia mengunyah perlahan-lahan dengan gigi palsunya yang masih kukuh.
     “Kalau keras makan roti ni, cecah Milo.” Pinggan nasi goreng diketepikan. Sibonggsuku menyuapkan roti lembut berair ke mulut ibu. Ibu tetap akur. Ibu tetap menganga apabila disuapkan. Ibu mengunyah perlahan-lahan mengikut keupayaan tenaganya.
     Seakan bermimpi, aku mengalih gerak tidurku. Aku dapat lihat ibu tidur membongkok sambil mendakap bantal peluk lembut di dadanya.
     Ibu sudah tidak boleh tegakkan kepalanya lagi. Tulang tengkuknya telah membengkok kerana telah bertahun tidur dalam keadaan begitu. Rambut ibu yang berwana putih dan agak keras dipotong pendek bagi memudahkan diurus dan disyampoo. Mata ibu tetap jaga. Hampir sepanjang malam ibu menemani malam dalam keadaan jaga. Ibu sudah sukar melelapkan mata. Dalam kesepian malam ada kalanya ibu berkata-kata sendirian. Ibu mengeluh, ibu beristigfar, ibu berzikir, malah ada kalanya kerana terlalu kecewa terkeluar suara jeritan kecil ibu...
     Walau dalam keadaan begitu ibu tetap tidak boleh tinggal tabiat lamanya. Ibu suka berjalan-jalan. Ibu suka menaiki kereta. Ibu suka pergi ronda-ronda keliling bandar. Ibu begitu gemar kalau anak-anaknya membawanya bersiar-siar.
     Tapi kesempatan tu jarang benar dirasai ibu akhir-akhir ini. Rela manapun anak-anak ibu ingin menjaganya ada saja masalahnya. Ibu pernah ditengking oleh menantu. Ibu pernah disindir-sindir. Ibu juga pernah dibiarkan dengan susah payah bangun dan berengsot sendirian ke bilik air walau ada menantunya di situ. Pernah satu malam aku terkejut melihat ibu makan sendirian di ceruk dapur berasingan dengan keluarga adikku yang enak menjamu selera di meja makan.
     Menitis air mataku. Tersentuh benar naluri perempuanku. Kekuatan zahir batinku tidak mampu membela apa yang ditanggung ibu. Aku berdoa, berdoa dan berdoa sambil menahan sebak jiwaku. Dalam kegelapan malam di bawah sinar lampu voltan rendah aku meluru ke bilik air. Pancuran air kuputar sehabis besar. Aku menangis sepuas-puasnya.
     Suara zikir dari telefon tanganku megejutkan lenaku subuh itu. Aku terus bangun untuk besiap memulakan tugasku. Ibu masih tunduk. Dalam duduknya, ibu memeluk bantal yang menahan dagunya. Mata ibu pejam tapi ingatannya masih jaga. Mulutnya bersuara perlahan membaca surah-surah lazim yang diingatnya. Tidak berapa jelas butirannya.
     Aku bangun perlahan-lahan tidak mahu mengganggu ibu. Ibu kemudian kudengar menyebut Allah berulang kali tanpa henti. Selimut ibu terpinggir jauh dari tubuhnya. Aku memperlahankan penghawa dingin dan menyelimutkan ibu dari kesejukan pagi.
     Bagaimana harus kubantu ibu... Kembali dari pejabat patang nanti akan kubelikan ibu kerusi roda. Akan kubawa ibu bersiar-siar keliling taman, keliling tasik menghirup udara petang.
     Akan kubawa ibu melihat-lihat panorama kota taman yang damai itu sehingga senja melihat rembang petang menutup tirainya. Tunggulah ibu. Tunggulah. Kita akan kecapi kebahgiaan bersama. Kebahgiaan berjalan-jalan perlahan sambil kita bercerita. Bercerita kisah apa saja... Sambil kita melihat tasik. Sambil kita melihat kerenah manusia. Sambil kita meluah rasa.
     Sarapan telah tersedia sebaik sahaja aku siap untuk ke tempat kerja. Sepuluh minit sampailah aku ke pejabat kalau keluar awal. Dahi ibu kukucup sebelum meninggalkan rumah.
     Kerja-kerja di pejabat memang tidak pernah putus. Ada kalanya hampir setiap minggu bertugas di luar. Minggu itu aku sengaja membatalkan tugas di luar bagi tujuan menyelesaikan urusan perpindahanku.
     Jam 9 pagi nanti aku akan menghadiri suatu mesyuarat jabatan. Sementara menunggu waktu mesyuarat aku menyiapkan tugasan yang belum selesai yang masih banyak berselerak di mejaku. E-mel pagi tadi tiada apa yang penting kecuali sembang-sembang dari rakan dan cerita rutin daripada anak-anak.
     Telefon berbunyi. Jarang benar aku menerima panggilan telefon pagi-pagi begini. Kalau ada pun sms dari kawan-kawan biasa yang mengajak bersarapan di cafe.
     ”Mak jatuh...” suara kakakku antara dengar tak dengar.
     Belum sempat suara dari telefon habis bercakap aku bergegas meningggalkan ruang pejabat kota idaman itu, untuk menemui ibu, untuk merangkul ibu, untuk mengucup ibu buat kali terakhirnya...
oleh: Siti Salbiah Zahari