Setelah diberitahu bos datang cari dan bising-bising kerana Objektif Penggunaan Pusat Sumber tidak tercapai, dengan berbekalkan data yang ada, aku terus ke pejabatnya pagi itu.
“Susah saya! Dato’ Khusaini tak habis-habis cakap pasal maktab kita. Mengapa maktab kita saja tak boleh capai sedangkan maktab lain boleh,” bos tidak memberi peluang aku menarik nafas selesa sebaik-baik duduk di hadapannya.
Aku tahu kedudukan perkara. Perkara ini semata-mata berpunca daripada kegagalan maktabku memenuhi Objektif Kualiti MS ISO 2000: 2001: Sebanyak 80% pengguna menggunakan Pusat Sumber.
Bagaimanapun dalam laporan yang dibentangkan pada mesyuarat pengarah-pengarah seluruh negara, hanya maktabku sahaja yang tidak mencecah angka itu.
“Susah saya nak jawab,” tambah bos lagi.
“Sebenarnya alat pengukuran yang salah Tuan Haji. Objektif Kualiti nak tentukan peratusan orang yang menggunakan Pusat Sumber sedangkan soal selidik lebih berupa alat mengukur kepuasan pengguna,” aku memberi penjelasan kepada pengarah yang baru beberapa bulan sahaja bertugas di maktab itu.
“Masalah itu dia orang tak hendak tahu. Yang mereka hendak tahu mengapa angka kita bawah 80%,” katanya lagi.
“Tapi angka itu tak ada makna. Biar kita bercakap berdasar fakta dan angka,” aku menjawab.
“Beginilah. Tak perlu kita pening-pening kepala kerana benda ni. Untuk laporan akan datang pastikan angkanya atas 80%. Caranya saya pulangkan kepada kau,” katanya mengalah.
“Hidup ni kalau lurus sangatpun susah!,” katanya separuh mendengus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan