Ramli Karim |
Tidak seperti pelajar lain, Ramli Karim terlalu cepat `dewasa.’ Sewaktu rakan-rakan lain sibuk menyiapkan diri untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia akhir tahun itu, Ramli bertindak satu langkah ke depan.
“Saya hendak jadi penulis macam Cikgu,” katanya selalu sewaktu bertemu. Maka bertanya itu-inilah budak Mandailing dari Kampung Kerangai, Jelebu ini.
Memang tidak suman-suman (siuman) lagi kalau hendakkan sesuatu. Itu antara sifat budak kampung yang pekat dialeknya ini. Sudahlah begitu, kadang-kadang Ramli ini mudah perasan – manja tidak bertempat. Ramai juga pelajar yang menyampah dengan perangainya yang dikatakan mengada-ngada – gedik kata orang hari ini.
Bagaimanapun, wajahnya yang sering menyeringai dan sifat selambanya menyebabkan aku tertarik kepada pelajar Tingkatan Lima di Sekolah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban ini. Aku mengajarnya mata pelajaran Bahasa Melayu. Karangannya baik.
Ternyata Ramli berusaha untuk mengotakan kata-katanya. Habis sahaja peperiksaan, dia terus ikut aku ke pejabat Berita Harian di Jalan Yam Tuan. Aku tidak sempat sangat membimbingnya di situ kerana selepas 1991 aku ditawarkan berkhidmat di Maktab Perguruan Raja Melewar.
Di tempat kerja baru ini aku tidak boleh menampakkan sangat ada kerja sampingan sebagai stringer Berita Harian kerana pelajar-pelajarnya sudah dewasa. Mungkin nanti akan ada yang bertanya, “Bila masa Encik Zul buat persiapan pengajaran untuk kami sedangkan setiap hari kami melihat nama Encik Zul ada dalam suratkhabar?”
Jadi, Ramli terpaksa bertatih sendiri sebagai stringer pada usia yang terlalu muda. Sesekali aku terdengar perkembangannya melalui Ramesh Pillai, pekerja am di bahagian sirkulasi.
“Zul! Anak murid you tu bukan main lagi sekarang. Dia sudah berkawan dengan Kadir Jasin. Bos nombor satu!,” ceritanya.
Aku tahu Kadir sesekali datang menjenguk isteri keduanya, Zaini Zainudin yang bertugas sebagai Ketua Biro ketika itu.
“Hebat! Terkedepan!,” getus hatiku. Aku berasa bangga juga kerana Ramli cepat dapat menyesuaikan diri walaupun di mana dia berada.
Bagaimanapun suatu hari Ramesh mengadu lagi.
“Zul! Anak murid you tu sudah main lebih. Dulu dia main tepuk-tepuk belakang Kadir, petang semalam aku nampak dia sepak kaki Kadir pula sewaktu bergurau. Sudahlah begitu dia terus menyeringai macam selalu,” cerita Ramesh panjang lebar.
“Aaaaah! Memang sudah dapat diduga. Kedewasaan Ramli kadang-kadang tidak bertempat,” hatiku berkata. Terasa sesuatu menggeletek di situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan