“Zul, kau jadi emcee!,” bekas bos menemui aku cemas di luar dewan makan sebuah hotel terkemuka senja itu. “Muka Muzamil tak nampak lagi,” katanya. “Tak boleh Dato’! Lepas acara aluan emcee saya kena kendalikan tayangan klip video. Tak `cantik’ perjalanan majlis nanti,” kataku terus-terang sambil menghadap muka bekas bos yang cukup cemas ketika itu.
“Tolonglah saya kali ini. Biar saya kendali acara aluan majlis. Lepas acara tayangan video tu nanti kau terus ambil-alih majlis,” katanya merayu. “Saya tahu kau boleh,” pintanya lagi sambil menyebut beberapa majlis yang aku kendalikan di peringkat maktab dan negeri sebelum itu.
“Ha! Itu pun MB dah datang,” katanya tergesa-gesa sambil berlari-lari anak ke dalam dewan untuk mengumumkan ketibaannya.
Kalau tak silap aku, itulah pertama kali aku cuba belajar berkata `tidak’ setelah beberapa kali dinasihatkan beberapa rakan baikku selepas sering mengadu kesibukanku. “Macam mana tak sibuk. Sanggup jadi Pak Sanggup,” kata mereka.
Aku turut masuk ke dewan sambil mencatat teks emcee di halaman buku program yang kosong sambil menanti giliran untuk acara tayangan klip video mengenai Tan Sri Samad Idris, tokoh yang biografinya akan dilancarkan pada malam itu.
Walaupun secara bergurau, Menteri Besar memulakan ucapan dengan kata-kata `Terima kasih juruacara kedua’ setelah aku mempersilakan beliau berucap, majlis itu tetap berjalan lancar sehingga ke peringkat hampir tamat walaupun tanpa persiapan rapi.
Bagaimanapun kejutan tetap berlaku. Dengan hanya bersandarkan atur cara pada buku program tanpa membuat penyelarasan dengan pihak hotel, aku terus mengumumkan “Dengan ini berakhirlah majlis kita pada malam ini. Sekian. Wabillahitaufik walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullah.” Aku tidak mendengar tepukan seperti biasa, sebaliknya tetamu di meja utama bagaikan termangu-mangu. Menteri Besar sendiri aku lihat baru hendak menyuap menu akhir makanan cara Cina pada malam itu.
Tanpa berfikir panjang, aku meneruskan majlis dengan mengungkapkan, “Sebenarnya majlis rasmi sahaja yang berakhir. Kita boleh meneruskan acara makan secara santai. Maaf atas kesilapan ini.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan