Sekali lagi kami dapat bos wanita. Maaf! Aku tidak berhasrat melakukan diskriminasi gender. Bos yang ini juga mungkin diberikan jawatan tertinggi ini sebagai tempat persinggahan setahun dua sebelum bersara. Rata-rata rakan sekerja biasanya mengambil masa menyesuaikan diri dengan bos baharu yang sebahagian besarnya bukan datang dari institusi yang kami naungi belasan dan sesetengahnya puluhan tahun. Bos kami ini juga datang dari sekolah.
Kadang-kadang terfikir juga. Siapa yang perlu menyesuaikan diri. Yang seorang kepada yang ramai atau yang ramai kepada yang seorang yang datang dari `dunia’ berbeza pula. Bos semestinya betul semuanya. Begitulah kata orang tua-tua.
Maka idea demi idea dibawa oleh bos baharu kami ini. Antaranya yang bersifat rasmi-rasmian yang ingin menunjukkan sifat keintelektualan tetapi pada masa tertentu macam terlupa core-business. Tanpa mahu memperkecilkannya, ada yang berani memberitahu bahawa program itu tidak praktikal dilaksanakan tetapi bos baru kami tetap dengan pendiriannya.
Lebih memburukkan keadaan, beliau sering bersikap prejudis terhadap beberapa rakan kami yang pernah dikenali sebelum itu. Entahlah, hendak dikatakan beliau terlalu bangga dengan jawatannya itu, tidak juga. Tetapi sebahagian besar staf tidak menyenanginya. Mungkin salah mereka juga. Prejudis. Mereka telah didedahkan dengan pelbagai cerita negatif bos baru sebelum beliau datang lagi.
Dipendekkan cerita hanya selepas bersara, bos kami ini dapat juga menyesuaikan diri dengan sebahagian kecil daripada kami. Tidak tahulah, mungkin beliau terdengar juga ada yang berkata. “Apa nak sombong-sombong sangat waktu jadi ketua ni. Pencen nanti, orang tak peduli.”
Bagaimanapun mungkin pelajaran paling berkesan yang diterimanya ialah sewaktu beliau mengadakan majlis perkahwinan anaknya di dewan besar institusi kami. Beliau telah menempah kira-kira 500 tempat duduk untuk tetamu, sehingga melimpah ke luar dewan tetapi yang berisi cuma kira-kira 300 orang.
Pada suatu hari selepas bersara dia datang ke pejabatku untuk meminjam buku.
“Apa you tak buat macam-macam perubahan sewaktu I di sini dulu,” katanya selamba.
“Puan sombong sangat dulu,” kataku dalam nada selamba juga.
Kali ini dia terima usikanku malah hubungan kami semakin rapat selepas itu. Selain sering datang ke rumah semacam keluarga sendiri dan bersama-sama dalam majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi, bekas bos aku ini telah meminta memanggilnya kakak pula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan