Jumaat, 29 Julai 2011

Bos


Pagi itu aku bertugas seperti biasa. Di sekolah, aku masuk ke kelas mengikut jadual yang ditetapkan dan melaksanakan pengajaran. Habis kelas aku membuat kerja-kerja penyemakan buku serta lain-lain kerja rutin sebagai seorang guru.
     Ketika itu jam menunjukkan pukul 11.30 pagi, aku menerima panggilan telefon daripada adikku.
     “Kak, mak dah nazak!, kata adikku.
     “Kak datanglah cepat,” sambung adikku dengan suara yang cemas.
     “Baiklah”, jawabku. Dadaku berdebar-debar setelah mendengar berita itu. Sejak seminggu yang lalu, aku menjaga ibu yang sakit di sebelah malam hingga subuh. Waktu yang lain, ibu dijaga oleh adik-beradikku yang lain. Kami bertiga beradik bergilir-gilir menjaga ibu yang sakit tenat.
     Hari itu Guru Besar dan Penolong Kanan Pentadbiran tiada di sekolah. Dengan itu aku segera pergi ke pejabat Penolong Kanan HEM untuk memohon pelepasan keluar melihat ibu. Hospital cuma lima minit perjalanan dari sekolah tempat aku bertugas.
     Masih ingat lagi, Cikgu Mokhtar namanya. Setelah mendengar permintaanku, beliau bertanya “Ada kelas lagikah selepas ini?”
     “Tak ada, kelas saya hari ini sudah habis,” jawabku.
     “Kalau begitu, buat kerja ini dahulu sebelum pergi! ” kata Cikgu Mokhtar dengan nada yang memerintah, sambil menghulurkan beberapa helai kertas  yang ditulis sebagai draf’. Aku tergamam.
     “Cikgu, boleh tak...?, tanyaku, dan belum sempat aku menghabiskan ayat, Cikgu Mokthar memotong ayatku dan berkata,” Buat saja kerja tu, saya tahu awak pandai komputer, sekejap awak buat, tentu boleh habis!” katanya dengan suara yang agak tinggi.
     “Ha, buat kerja tu elok-elok! Saya nak yang terbaik daripada awak!”, katanya lagi.
     Aku pun segera beredar ke bilik guru dan terus membuat kerja yang diarahkan tanpa banyak bicara. Tujuanku cuma satu, selesaikan tugasan ini dan hendak pergi melihat ibu secepat mungkin.
      Hampir sepuluh minit berlalu, aku menyerahkan tugasan itu kepada Cikgu Mokhtar.
     “Eh, saya tak nak macam ini, buat yang lain, ini tak cantik, bla… bla… buat yang lain.“ Cikgu Mokhtar membebel  selepas melihat tugasanku itu.
     “Cerewetnya cikgu ni, sudahlah kesuntukkan masa, dia minta
aku  buat sekali lagi pula” bisik hatiku.  Pada hal , aku sudah buat yang terbaik tapi dia yang masih tak berpuas hati. Aku pun beredar dan membuat seperti yang diminta.
     Lima belas minit kemudian, aku pun menyerahkan kerja tugasan itu kepada Cikgu Mokhtar.
     ”Ha, macam inilah yang saya hendak,” katanya. Di hujung blok sekolah, belum pun sampai ke parkir kereta, telefon bimbitku berbunyi lagi. Suara tangisan adikku kedengaran.
     “Kak! Mak dah tak ada!” Hancur luluh hatiku mendengar perkhabaran itu. Aku berjalan semula  ke pejabat sekolah dengan tubuh yang gementar dan kaki yang longlai. Tiba di pejabat, aku terus memeluk rakan sekerjaku Cikgu Salmah yang kebetulan berada di situ. Cikgu Salmah terpinga-pinga apabila aku menangis di bahunya.
     ”Kenapa ni?” tanya Cikgu Salmah.
     “Mak saya… mak saya dah tak ada Salmah, saya dah terlambat, tadi adik saya call, tapi saya tak dapat pergi sebab Cikgu Mokhtar suruh saya siapkan kerjanya dahulu!” jawabku dalam tangisan. Aku betul-betul terkilan kerana tidak sempat ‘mengadap’ ibu semasa ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.  Jika tiada halangan daripada Cikgu Mokhtar, sudah tentu aku sempat berada disisi ibu sebelum dia pergi buat selama-lamanya!
     Cikgu Salmah merengus marah apabila mengetahui apa yang terjadi.
 “Hei, apalah Cikgu Mokhtar ni, tak ada perasaan langsung!,” ucap Cikgu Salmah dengan nada marah.
     “Tak patut dia buat macam ni!” kata Cikgu Salmah lagi.
     Aku akur dengan ketentuan Ilahi. Mungkin sudah ditakdirkan begitu. Aku tidak berpeluang mengadap ibu di saat-saat terakhir hayatnya. Bagaimana pun peristiwa sedih  itu tetap terpahat dihatiku.
     Sekarang ini bila aku pula menjawat jawatan Penolong Kanan, aku tidak mengulangi apa yang telah Cikgu Mokhtar lakukan kepadaku.
     Padaku, perbuatan itu amat tidak bertimbangrasa. Jika ada guru-guru yang memohon keizinan keluar untuk menguruskan ibu atau ayah yang sakit, aku tidak bertangguh lagi. Aku tidak mahu mereka mengalami sebagaimana yang telah aku lalui.  Aku segera memberikan keizinan keluar dengan  syarat  guru tersebut mencatatkan maklumat di dalam Buku Kebenaran Keluar Sekolah mengikut prosedur yang sepatutnya. 
oleh: Sharifah Intan Thalathiah 

Tiada ulasan: