Imbas kembali ketika aku mula-mula mengenali alam percintaan ini. Aku mula mencintai `P’ pada ketika aku berumur 15 tahun, di tingkatan 3 ketika itu. Sebelum itu aku telah pun diperkenalkan kepada `P’ oleh kakakku ketika di tingkatan 2. Kakakku begitu rapat dengan `P’, sehingga pada satu ketika `P’ telah membantu beliau melonjakkan namanya di daerah ini.
Pada ketika diperkenalkan setahun yang lalu, `P, mempunyai hubungan dengan seniorku yang juga merupakan rakan sekelas kakakku. Apalah daya aku ketika itu kerana senior aku itu jauh lebih hebat daripadaku. Setelah berkenalan dengan `P’ selama setahun, aku mula menjalin hubungan yang lebih mesra dengannya. Ini juga berpunca daripada sikap seniorku itu yang telah meninggalkan `P, demi mengejar impian di sekolah berasrama penuh.
Tempoh perkenalan yang singkat antara aku dan `’P aku gunakan sebaik mungkin dan menghabiskan masa bersamanya. Mungkin sudah memang jodoh aku bersamanya ketika itu. Di alam percintaanku itu, aku telah bersama-sama dengan `P’ mencapai kejayaan untuk diriku juga untuk sekolahku sehingga aku menjadi terkenal di daerah Muar ini. Kejayaan gemilangku bersama dengan `P, sehingga melonjakkanku sebagai peserta kedua terbaik dalam satu pertandingan di Johor.
“Ku sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari,”,Pada tahun yang berikutnya aku masih menjalankan hubungan dengan `P’ sehingga ke tingkatan 5. Walau bagaimanapun percintaanku dengan `P’ tidak lagi dapat melonjakkan namaku di daerah ini lagi, semakin tahun semakin malap sinarku bersamanya. Aku telah mengambil keputusan meninggalkan `P’ setelah berakhirnya zaman persekolahanku.
Maafkan aku `P’. Jodohku bersamamu tidak panjang, telah habis ku gilap bakatku bersamamu, namun aku lebih selesa sekiranya tidak bersamamu lagi. Walaupun `P’ telah kutinggalkan, tetapi kenangan bersamanya tetap bersemadi di hatiku.
`P, yang aku maksudkan ialah pidato.
Ole: Hamizi Mahpop
Tiada ulasan:
Catat Ulasan