Entah macam mana juga setelah Mercu Karya tutup bisnes, Ali Chooi yang ketika itu stringer TV3 ajak aku buka bisnes pencetakan juga. Ali bukan ada pengalaman itu tapi dia cukup seronok apabila aku mampu meyakinkannya bahawa bisnes ini tidak ada persaingan di Seremban dan boleh cepat buat duit pula.
Ali, mualaf dari Kajang ini akhirnya menetap di Seremban dan membeli kedai di Taman Nyior. Tingkat atas bangunan dijadikan pejabat TV3 dan tingkat bawah pencetakan – Citra Media Sdn Bhd. Nama itu aku yang beri setelah tertarik dengan nama itu sewaktu kutemuinya di Medan, Indonesia. Seperti dulu, nama aku tidak didaftar dalam syarikat. Roslin Abu, adikku menjadi proksi. “Mana boleh! Bukankah aku kakitangan kerajaan,” aku menegaskan kepada Ali sewaktu syarikat hendak ditubuhkan. “Aku percayakan kau!,” aku membuat rumusan.
Beberapa bulan selepas ditubuhkan, kami dapat projek besar – mencetak poster calon Barisan Nasional Peringkat Negeri (cetakan di kertas dan di plastik). “Tok Isa beri,” kata Ali bangga.
Walaupun pernah aku ingatkan Ali bahawa aku tidak boleh ditonjolkan sangat dalam perniagaan itu kerana masih berkerja, beberapa kali Ali mungkir janji.
Sewaktu menguruskan poster pilihanraya itu, aku diminta mengagih-agihkannya kepada wakil calon yang datang mengambilnya di gudang kami (rumah yang disewa khas). Pernah juga Ali meminta aku pergi mengambil wang tunai daripada tokoh politik sebagai bayaran.
Walaupun jumlah projek itu kira-kira suku juta ringgit, Ali tidak membenarkannya untuk diambil keuntungannya. “Duit untung ini kita beli mesin cetak dan segala keperluan,” katanya.
“Oh! Begini rupanya orang Cina berniaga,” fikir hatiku. “Patutlah mereka cepat berkembang. Duit untung mereka jadikan modal kembali.”
Rasa tak rasa aku duit pilihanraya itu seingat-ingat aku cuma RM300. Itupun mungkin wakil calon tersalah kira dan aku tidak dapat memastikannya.
Penghujung tahun 1996 aku melanjutkan pelajaran di Manchester dan aku mewakilkan adik dan suaminya menguruskan perniagaan itu. “Aku buat perniagaan inipun untuk mereka,” fikir hati.
Tidak lama selepas balik, berlaku perbezaan pendapat antara Ali dan adikku dan akhirnya mereka berpecah.
Aku tidak merasa juga keuntungan daripada perkongsian ini. Pagi tadi sewaktu ke syarikat pencetakan adikku, Niagariang Sdn Bhd yang terletak berdekatan, aku sempat mencari Ali.
“Dia tak sampai lagi!,” kata Lin yang kami lantik jadi pengurus sejak zaman gadisnya hinggalah kini sudah beranak dua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan