Aku tidak dapat bersama ke tanah suci kerana pasport antarabangsaku sudah lebih lima tahun dipegang oleh salah sebuah agensi kerajaan. Puncanya... |
Aku sempat menitipkan pesanan kepada isteri sewaktu hendak turun ke eskalator balai berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke tanah suci bersama-sama dua anak kami pada cuti sekolah baru-baru ini.
“Pohon doa di Kaabah untuk abang agar boleh menulis kembali seperti dahulu dan minta bukakanlah injap hati mereka yang berhutang untuk menunaikan tanggungjawab mereka,” pintaku pasrah.
Dua permintaanku ini adalah antara masalah yang mungkin penyebab kesihatanku terganggu sejak lebih setahun yang lalu, selepas bersara.
Bayangkan betapa beratnya ujian Allah apabila seorang penulis tidak mampu menulis lagi. Bayangkan juga apa akan terjadi apabila seorang pencinta setia komputer, benci akannya. Entah penyakit apa, semua yang aku suka, semuanya pula kubenci kini. Segala-galanya...
“Allah, terlalu banyak yang kauberikan, memang tidak termampu untuk membalasnya (Pak Samad Said: izinkan saya memetik kata-kata yang menarik dari novel Hujan Pagimu). Mungkinkah ia turut berpunca daripada kehilangan wang graduiti persaraan kerana jumlah besar yang dipinjam kawan? Aku tidak pasti!
Dalam tempoh lebih setahun itu segala-galanya suram dan kelam. Selepas menghantar Siti Adibah ke sekolah kira-kira jam 7.00 pagi, aku terbaring-bangun sahaja di ruang tamu belakang rumah, sebelum tiba masanya untuk menjemputnya pulang.
“Daripada duduk-duduk kosong why not you write again!,” kata isteri tersayang pada suatu petang sewaktu melihat aku termenung menghadap kehijauan laman Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) di belakang rumah kami.
“From my reading, a pensioner can seem to get depression easily if the mind is not activated with any activities!,” kata Rohani yang mendapat pendidikan Inggeris sejak tadika Convent hingga menjadi calon PhD kini.
Real time! Itu istilah yang kami (editor video) gunakan apabila menggunakan capture-board dan perisian non-linear editing; tanpa memerlukan proses rendering.
Begitu juga doa yang kupinta. Mungkin sama waktunya sewaktu isteri menadah tangan penuh kudus di Multazam, jari-jariku di Taman Pinggiran Golf, bergerak laju di papan kekunci menulis kembali cerita lalu.
Aku telah menyentuh kembali `janda’ yang sudah lama kutinggalkan. Pada hari itu juga aku membuka akaun Facebook. Pada masa yang sama aku membangunkan kembali blog ceritaapaapasaja dengan Blogger yang sebelum ini memiliki URL berbayar ceritaapasaja.com
Walaupun tidak pernah menggunakan Facebook dan perisian Blogger sebelum ini, aku tidak menghadapi masalah. Cuma satu pertanyaan aku kemukakan kepada anak keduaku, Siti Atiqah yang gila gunakan kedua-dua perisian itu sebelum meninggalkan rumah pada malam keberangkatan.
Pada hari akhir Mei itu, aku bekerja sehingga jam 12.00 tengah malam dan sempat publish (terbitkan) 24 entri.
Lain-lainnya, marilah kita saksikan bersama-sama di mana hujungnya ceritaapaapasaja yang terperam sekian lama sejak di Manchester lagi kira-kira 15 tahun yang lalu.
Allah! Padamu jua aku berserah. Amin!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan