Puas aku melayan mesra... Pemuda dari Afghanistan ini tetap serius... Perang!!! |
Memang benar kata orang yang pernah ke Makkah. Pemandu teksi di kota suci itu memang sukar difahami. Bagaimanapun daripada penyelidikanku, mereka tidak perlu dipersalahkan seratus peratus. Sebahagian besar daripada mereka bukan anak tempatan. Mereka datang dari negara benua Arab yang lain seperti Yaman.
Bagaimanapun sifat bodoh sombong mereka benar-benar menguji kesabaran. Ini terbukti melalui pengalamanku sendiri.
Awal pagi itu aku ingin ke miqat di Jaranah, biasanya di Tanaim saja. Tak sampai 45 minit dengan bas.
Sewaktu bersama pasangan lain untuk ke miqat di Tanaim, kami dibawa entah ke mana sedangkan aku tahu perjalanan itu tidak sepatutnya mengambil masa yang lama. Dengan bas saja, aku boleh sampai ke Tanaim tidak sampai 45 minit dari perhentian berdekatan Jabal Qubis.
Walaupun beberapa kali kami mengatakan kepada lelaki Yaman yang bertubuh kecil itu dia telah sesat; dengan yakin dia tetap mengatakan `Lak!’ bermaksud tidak.
Dia terus memandu kereta dengan laju, memasuki beberapa jalan yang tidak berpenghuni.
Isteriku dan isteri kenalan baruku mula bising. ”Jangan-jangan dia nak rompak kita!,” kata mereka seolah-olah mengingatkan aku kepada cerita-cerita serupa. Cerita jemaah ditipu, dibunuh dan wanita cantik dirogol. Cerita-cerita seperti itu masih aku kategorikan `cerita tahyul’. Nonsense! Orang Arab tidak sebodoh itu.
Sewaktu melalui jalan yang lebih sunyi, kesabaranku mula terhakis. Aku cuba berkomunikasi dalam bahasa Inggeris mudah dengannya. Aku memaklumkan mungkin kami sesat. Dia tidak tahu berbahasa Inggeris rupanya. Bagaimanapun dia menjawab juga tetapi dalam bahasa Arab. Aku agak maksudnya itu jalan singkat.
Sewaktu isteri kenalan baruku itu mula lebih bising, aku terdengar suami beliau menyejukkannya. Nasihat klise sebahagian besar jemaah haji dari Malaysia yang selalu aku dengar. ”Dekat Makkah ini kena banyak bersabar. Itu semua ujian dan dugaan.”
”Takkan sudah ditipu hidup-hidup macam ini boleh bersabar lagi,” kata-kata itu terpancut keluar juga dari mulut si isteri.
Untuk menenangkan keadaan, aku teringat pesan nenek.
”Orang Arab takut dengan perkataan haram.”
Apa lagi aku terus menyebut perkataan haram beberapa kali yang sebahagiannya dalam nada jeritan kepada pemandu teksi.
”Haram! Haram! Haram!,” kata kami bagaikan serentak.
Aku lihat lelaki Yaman itu pula yang panik. Apa yang menghairankan, beberapa minit kemudian aku lihat dia dapat keluar ke jalan besar dan kemudiannya sampai ke destinasi yang dituju.
Sehingga hari ini aku tidak pasti sama ada pemandu itu benar-benar mengikut jalan singkat atau cuba menipu kami untuk mendapat bayaran yang lebih tinggi kerana perjalanan jauh.
Bagaimanapun aku pasti kata nenek betul. Orang Arab takut dengan perkataan `haram’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan