Walaupun aku lulus ujianpra penguasaan bahasa Inggeris, aku tetap mengikuti kelas khas bahasa Inggeris anjuran universiti untuk pelajar-pelajar luar dari United Kingdom. Kelas ini boleh disertai sama ada pelajar program ijazah pertama, sarjana malah peringkat doktor falsafah juga – tanpa mengira kursus yang diikuti,; sains sosial atau sains tulen.
Walaupun kelas itu diadakan pada lewat petang, aku tidak melepaskan peluang itu untuk memantapkan penguasaan bahasaku. Aku seolah-olah berjanji pada diri, dalam tempoh setahun belajar di sini, setidak-tidaknya penguasaan bahasa Inggerisku setara dengan isteri. Beliau masuk sekolah Convent sejak tadika dan kini buat ijazah dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua pula.
Mr. John adalah tutor kami. Pengalaman mengajarnya di beberapa buah negara dunia ketiga termasuk Malaysia memudahkannya berhadapan dengan kami. Dia cukup sabar melayan karenah kami.
Pada kuliah pertama, kami diminta memperkenalkan diri dengan menyebut nama, dari mana kami datang, mengikuti program apa dan menyebut mengapa kami memilih The University of Manchester.
Aku lulus ujian itu dan diberi pujian oleh Mr. John.
Sampai gilirannya, seorang pelajar dari Vietnam keluar dengan penuh yakin sambil selendang kelab Manchester United terlilit di lehernya. Dia kemudiannya kelihatan mula gugup apabila ingin memulakan ucapannya.
Setelah menyebut namanya, dia kelihatan berhenti seketika. Mungkin sedang menyusun ayat di kepala. Tiba-tiba ayat dirangka terkeluar juga dengan selamba;
”I come here because Manchester United!” jeritnya. kata-katanya itu menyebabkan kelas bagaikan hendak runtuh dengan ketawa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan