Khamis – 5 Jun, tanpa dirancang akhirnya aku berpindah juga ke sebuah rumah teres tiga tingkat di bandar Idaman itu. Hanya lima kilometer jaraknya dari pejabat. Sebelum ini aku pernah ditawarkan pangsapuri tiga bilik. Sebuah bilik kujadikan bilik tetamu. Agak luas juga untuk kududuk bersama anak lelakiku tetapi oleh kerana telah biasa dengan ahli keluarga yang ramai, ada kalanya aku rasa kesunyian juga. Lantas aku pulangkan semula dan berulang dari kediaman asal sejauh 85 kilometer.
Tapi kini aku benar-benar nekad untuk tinggal di bandar Idaman. Memang tiada pilihan. Semua pembayaran deposit telah diuruskan. Bagai nak pengsan aku mengekori anakku menguruskan segala keperluan sebaik sahaja aku buat keputusan untuk berpindah. Kediaman yang kududuki kini lebih luas dan selesa.
Sehari selepas berpindah aku membawa ibuku yang sudah uzur itu bermastautin bersamaku. Umur ibuku yang sudah lanjut itu menyebabkan dia tidak lancar lagi untuk ke sana ke mari. Kesihatannya agak terjejas sejak tiga tahun yang lalu. Pernafasannya dibantu dengan menggunakan bateri atau pacemaker yang diperoleh daripada rawatan jantung di Institut Jantung Negara beberapa tahun dulu.
Aku menyediakan sebuah katil di ruang tepi tingkap sudut sebuah bilik yang agak luas untuk ibu. Barang-barang masih banyak yang belum bersusun. Walaupun telah lewat, malam itu aku tetap menemani ibu tidur. Kepenatan yang amat sangat menyebabkan aku terus terlena sebaik sahaja merebahkan badan di sisinya. Langsung aku tak tahu apa berlaku selepas itu. Suara ibu, rengek ibu, keluhan ibu, zikir ibu langsung aku tak sedar.
Bukan aku sebenarnya yang menjaga ibu pada malam itu. Tilam empuk tempat lenaku betul-betul telah melayaniku seenaknya sehingga aku terus dibuai mimpi di sisi ibu.
Anak bongsu dan anak ketigakulah yang melayani ibuku pada malam itu. Merekalah yang melayani kerenah ibu. Berbual-bual dengan ibu, menghantar ibu ke bilik air, menukarkan baju ibu yang basah, menyapu minyak dan mengurut kaki ibu, dan melayani suara mengaduh ibu.
Sebelum ini ada bibik yang menjaga ibu. Tetapi hanya setelah tiga bulan, bibik meninggalkan rumah ketika subuh-subuh hari.
Dia yang kubelai dengan lembut kata, dia yang kutabur dengan manis senyum, dia yang kupujuk dan kuumpan dengan pakaian segala, akhirnya lari juga mengikut jantan dari warga negaranya.
Betapa ibu jenuh terkial-kial berjalan ke serata rumah jiran memanggil-manggil dan mencari bibik, bibik tetap tiada. Bibik tekad. Perancangan rupa-rupanya telah diatur rapi.
Pernah hatiku terasa curiga apabila barang yang dibeli cepat benar habisnya. Milo satu tin besar tak sampai dua minggu. Ayam, ikan segar berkilo-kilo sering tak sampai tiga hari. Malah ikan asin kesukaan ibu pun cepat sangat habis dimasak semuanya.
Setiap kali sebelum pulang aku tanya bibik. Apa lagi barang yang tiada di rumah?” Bibik kata, ”... telur, gula, sabun cuci puan...”
”Eh, kan baru tiga hari beli telur satu tray, semalam beli gula, kelmarin beli sabun cuci kotak besar! Bukan ramai sangat yang makan di rumah tu.”
”Heh, tak apalah. Beli je. Lepas ni beritahu bibik supaya berjimat.” Bisik hati kecilku.
Pun begitu dilayan bibik, bibik tetap pergi. Pergi dengan meninggalkan permit dan pasport asalnya, pergi bersama kekasih barunya, pergi mencari kerja kilang yang lebih bebas dari terkongkong seperti menjaga makan minum ibu.
Kini aku rasa bahagia benar apabila ibu dapat kubawa tinggal bersamaku. Memang itu yang kudoa selalu. Ingin benar kumelayani ibu dalam usianya yang begitu.
Ibu kini segala-galanya perlu dibantu. Dia tidak boleh berdiri setegap dulu. Pun tidak boleh berkata-kata selancar dulu. Badannya telah mula lemah. Kata-katanya telah mula sepi. Pandangannya telah mula kabur. Makannya perlu disuap. Pakaiannya perlu disarungkan. Mandinya perlu disabunkan. Tapi ibu masih boleh mengenali anak cucunya melalui deria pendengarannya.
Betapa terharunya aku, waktu ibu akan dimandikan suatu pagi di hujung minggu. Anak-anakku berebut-rebut hendak menjirus badan ibu. Yang sulung mengangkat kerusi mandian ke bilik air supaya ibu selesa bertenggong semasa dimandikan. Yang kedua telah sedia memegang bekas syampoo dan mandian sambil berdiri di sisi kolah. Yang ketiga bersandar di daun pintu bilik air sambil bercekak pinggang manakala tangan kirinya memegang tuala mandi yang tersangkut di bahunya. Yang satu-satunya anak lelakiku telah membuka pancuran sambil tangan kirinya merasa kepanasan air yang mula disembur perlahan. Yang kelima memerhati dari jauh sambil memegang cawan dan sudu untuk membancuh milo panas untuk ibu. Manakala yang bongsu menyediakan pakaian baru dan bedak sikat untuk dipakai ibu.
”Abang, keluarlah. Biar kami yang buat,” perintah anak kelimaku.
”Abang nak jugak mandikan Wan...” jawab anak bujangku sambil menyabun badan ibu yang berkain basahan.
”Abang lelaki!” tingkas yang bongsu.
”Ala, takpe. Abang tolong jirus je.” Anak lelakiku mempertahankan hujahnya.
Ibu tak berkata apa-apa semasa dimandikan. Dijirus, ibu diam. Disabunkan, ibu diam. Ibu seolah-olah anak patung dijadikan putera puteriku. Dibuat macam mana pun ibu tetap diam. Ibu tetap patuh.
”Ok, Wan, kencing...”
”Dah..” ibu bersuara perlahan dengan susah payah antara dengar dengan tidak.
”Abang, jirus. Jirus bersih-bersih.” Perintah seorang anakku sambil menyelak kain basahan yang dipakai ibu.
”Wan, bangun.”
“Pegang wan, nanti jatuh.”
“Ok. Bawa wan ke bilik. Pakaikan baju yang baru dibeli tu…”
Sampai di bilik, ibu dilap kering-kering. Rambut ibu yang basah dianginkan dengan penghawa dingin supaya cepat kering. Ibu dibedak. Ibu dipakaikan baju kurung kedah warna unggu dan kain batik berbunga tanah hitam yang diperoleh sempena hari jadinya semalam. Rambut ibu disikat.
Setelah ibu disiapkan dengan kemas ibu dibawa ke meja makan untuk bersarapan.
”Banyak sangat nasi goreng tu. Kurangkan sikit. Wan tak boleh makan banyak. Nanti senak perut.”
”Tidak apa. Kita ada simpan Eno Halia.”
”Tak baik minum Eno selalu.”
Yang sulung menyuapkan nasi goreng ke mulut ibu. Ibu mengunyah dengan susah payah.
’”Keras ye Wan?” Ibu tersenyum tawar tetapi masih setia mengunyah perlahan-lahan dengan gigi palsunya yang masih kukuh.
“Kalau keras makan roti ni, cecah Milo.” Pinggan nasi goreng diketepikan. Sibonggsuku menyuapkan roti lembut berair ke mulut ibu. Ibu tetap akur. Ibu tetap menganga apabila disuapkan. Ibu mengunyah perlahan-lahan mengikut keupayaan tenaganya.
Seakan bermimpi, aku mengalih gerak tidurku. Aku dapat lihat ibu tidur membongkok sambil mendakap bantal peluk lembut di dadanya.
Ibu sudah tidak boleh tegakkan kepalanya lagi. Tulang tengkuknya telah membengkok kerana telah bertahun tidur dalam keadaan begitu. Rambut ibu yang berwana putih dan agak keras dipotong pendek bagi memudahkan diurus dan disyampoo. Mata ibu tetap jaga. Hampir sepanjang malam ibu menemani malam dalam keadaan jaga. Ibu sudah sukar melelapkan mata. Dalam kesepian malam ada kalanya ibu berkata-kata sendirian. Ibu mengeluh, ibu beristigfar, ibu berzikir, malah ada kalanya kerana terlalu kecewa terkeluar suara jeritan kecil ibu...
Walau dalam keadaan begitu ibu tetap tidak boleh tinggal tabiat lamanya. Ibu suka berjalan-jalan. Ibu suka menaiki kereta. Ibu suka pergi ronda-ronda keliling bandar. Ibu begitu gemar kalau anak-anaknya membawanya bersiar-siar.
Tapi kesempatan tu jarang benar dirasai ibu akhir-akhir ini. Rela manapun anak-anak ibu ingin menjaganya ada saja masalahnya. Ibu pernah ditengking oleh menantu. Ibu pernah disindir-sindir. Ibu juga pernah dibiarkan dengan susah payah bangun dan berengsot sendirian ke bilik air walau ada menantunya di situ. Pernah satu malam aku terkejut melihat ibu makan sendirian di ceruk dapur berasingan dengan keluarga adikku yang enak menjamu selera di meja makan.
Menitis air mataku. Tersentuh benar naluri perempuanku. Kekuatan zahir batinku tidak mampu membela apa yang ditanggung ibu. Aku berdoa, berdoa dan berdoa sambil menahan sebak jiwaku. Dalam kegelapan malam di bawah sinar lampu voltan rendah aku meluru ke bilik air. Pancuran air kuputar sehabis besar. Aku menangis sepuas-puasnya.
Suara zikir dari telefon tanganku megejutkan lenaku subuh itu. Aku terus bangun untuk besiap memulakan tugasku. Ibu masih tunduk. Dalam duduknya, ibu memeluk bantal yang menahan dagunya. Mata ibu pejam tapi ingatannya masih jaga. Mulutnya bersuara perlahan membaca surah-surah lazim yang diingatnya. Tidak berapa jelas butirannya.
Aku bangun perlahan-lahan tidak mahu mengganggu ibu. Ibu kemudian kudengar menyebut Allah berulang kali tanpa henti. Selimut ibu terpinggir jauh dari tubuhnya. Aku memperlahankan penghawa dingin dan menyelimutkan ibu dari kesejukan pagi.
Bagaimana harus kubantu ibu... Kembali dari pejabat patang nanti akan kubelikan ibu kerusi roda. Akan kubawa ibu bersiar-siar keliling taman, keliling tasik menghirup udara petang.
Akan kubawa ibu melihat-lihat panorama kota taman yang damai itu sehingga senja melihat rembang petang menutup tirainya. Tunggulah ibu. Tunggulah. Kita akan kecapi kebahgiaan bersama. Kebahgiaan berjalan-jalan perlahan sambil kita bercerita. Bercerita kisah apa saja... Sambil kita melihat tasik. Sambil kita melihat kerenah manusia. Sambil kita meluah rasa.
Sarapan telah tersedia sebaik sahaja aku siap untuk ke tempat kerja. Sepuluh minit sampailah aku ke pejabat kalau keluar awal. Dahi ibu kukucup sebelum meninggalkan rumah.
Kerja-kerja di pejabat memang tidak pernah putus. Ada kalanya hampir setiap minggu bertugas di luar. Minggu itu aku sengaja membatalkan tugas di luar bagi tujuan menyelesaikan urusan perpindahanku.
Jam 9 pagi nanti aku akan menghadiri suatu mesyuarat jabatan. Sementara menunggu waktu mesyuarat aku menyiapkan tugasan yang belum selesai yang masih banyak berselerak di mejaku. E-mel pagi tadi tiada apa yang penting kecuali sembang-sembang dari rakan dan cerita rutin daripada anak-anak.
Telefon berbunyi. Jarang benar aku menerima panggilan telefon pagi-pagi begini. Kalau ada pun sms dari kawan-kawan biasa yang mengajak bersarapan di cafe.
”Mak jatuh...” suara kakakku antara dengar tak dengar.
Belum sempat suara dari telefon habis bercakap aku bergegas meningggalkan ruang pejabat kota idaman itu, untuk menemui ibu, untuk merangkul ibu, untuk mengucup ibu buat kali terakhirnya...
oleh: Siti Salbiah Zahari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan