Hari itu semasa aku melayari laman FB Zulkifli Abu mengenai gulai ikan puyu, aku ternampak nama Hartini Abdul Hamid. Lama aku memerhatikan nama itu berserta gambarnya.
Baru aku tahu, aku tidak kenal dia tetapi nama HARTINI itu amat aku kenali dan sentiasa bersandaran di lipatan kenangan. Nama itulah yang mengheret ERMA FATIMA ke mahkamah. Siapa yang mengheretnya? Aziz Afkar dan Creative Enterprise. Puncanya? Erma menerbitkan drama HARTINI berdasarkan novel HARTINI karya Aziz Afkar (Allahyarham). Aku terlibat sama kerana pada masa itu akulah yang membeli drama itu dan menyiarkannya di TV3.
Semuanya bermula pada suatu hari dalam tahun 1995 (kalau tak silap). Masa itu aku menjadi Pengurus Rancangan TV3. Dalam satu perbualan dengan Erma aku bertanya padanya "Pernah baca novel Hartini?". "Tak pernah dengar pun nama tu?" jawab Erma.
"Cuba baca novel tu, mungkin sesuai dijadikan drama," kataku. Erma pada masa itu masih popular sebagai seorang pelakon. Bertambah hebat lagi apabila drama pertama terbitannya Pengantin Popular mencapai rating tertinggi di TV3.
Dia makin bersemangat untuk menerbitkan drama-drama hebat. Pada masa itu aku sedang mencari dua tiga drama khas untuk tayangan Hari Raya Puasa. Aku teringat akan novel Hartini yang aku baca semasa sekolah di Tingkatan Empat. Kisah percintaan Cikgu Hartini dan Cikgu Hamli yang masing-masing memendam rasa tanpa diluahkan. Hebat cerita itu.
Seminggu kemudian Erma datang ke pejabatku di Sri Pentas.
"Dah... saya dah baca dan menangis macam nak gila pasal novel Hartini tu," katanya.
"Tidak ada perempuan yang tidak menangis membaca cerita itu," jawabku.
"Saya nak buat drama macam cerita tu," kata Erma.
"Rujuk dengan penerbitnya tentang copyright," aku mengingatkan.
"Alah...penerbitnya Pustaka Antara. Saya kenal taukenya," jawab Erma tersengeh.
Drama itu siap. Hebat lakonan Umi Aida dan Nasir Bilal Khan. TV3 menayangkannya di Hari Raya Kedua.
Selepas itu pecahlah cerita dalam akhbar, Creative Enterprise mendakwa pemegang hak penerbitan novel Hartini dan Erma tidak memiliki keizinan untuk menerbitkan drama berkenaan.
Creative Enterprise bersama Aziz Afkar kemudianya memfailkan saman menuntut ganti rugi terhadap Erma dan TV3. Aku pun kenalah pergi court. Turun court naik court.
oleh: Khalil Md. Zain
Tiada ulasan:
Catat Ulasan