Pada minggu berikutnya, agensi pekerjaan kami hanya dapat menawarkan satu kerja. Wan dan Hamzah beralah. ”Kau kerjalah seorang. Kamipun sedang sibuk menyiapkan tesis,” kata mereka.
Seperti yang dijadualkan, mulai Isnin itu aku akan ditempatkan di sebuah kilang yang mengeluarkan barangan berasaskan plastik. Dengan teknologi acuan (moulding) yang ada pada mereka, kilang berkenaan membekalkan komponen kerusi, komponen kecil peralatan audio-video dan pasu bunga juga.
Pagi itu aku ditempatkan di bahagian pengeluaran komponen kerusi iaitu tempat rehat tangannya. Mulanya bagaikan hendak melecur tangan kerana terpaksa dengan segera memotong lebihan plastik sebaik terjun dari acuan. Kalau lambat, lebihan itu akan keras.
Kerja itu dapat aku jayakan sepenuhnya hingga petang, walaupun beberapa kali mendapat teguran kecil daripada penyelia.
Keesokan harinya pula aku ditempatkan di bahagian pengeluaran komponen sebesar hujung jari kelingking untuk peralatan audio-video. Kilang ini membekalkannya untuk syarikat Philips di Belanda.
Kerja ini agak sukar. Aku terpaksa memutuskan plastik yang menghubungkan di antara satu komponen dengan komponen yang lain yang keluar berangkai. Plastiknya agak keras, tidak seperti jenis komponen kerusi.
Komponen yang telah dipotong pula perlu dipilih sebaiknya sebelum dimasukkan ke dalam kotak. Isi kotak dikira penuh berdasarkan beratnya.
Oleh kerana bagai tidak menang tangan menguruskan kerja itu, apatah lagi mesin terus-terusan mengeluarkan komponen yang berangkai; kadang-kadang aku ambil mudah tanpa memilihnya secara teliti.
Hanya beberapa minggu kemudian aku dipanggil penyelia ke pejabatnya sambil menunjukkan beberapa kotak di hadapannya.
”Philips memulangkan kesemua kotak yang dihantar. Melalui carian rambang, beberapa kotak turut berisi komponen yang tidak melepasi spesifikasi.”
Itu hari akhir aku bekerja di situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan