Rabu, 13 Julai 2011

Pejabat Pagi di Syed Maju

Shariff menyusun Utusan
Sejak diberi tanggungjawab menulis skrip untuk Komentar Hari Ini jam 7.20 pagi di TV1, 16 Mei lalu, Shariff akan ke Restoran Syed Maju selepas subuh berjemaah di masjid.
Sham, aku, Ustaz Niza dan Shariff
     Akhbar harian tiba awal di sini kerana ejen pengedarannya, Sham turut membekalkannya kepada beberapa vendor untuk beberapa taman perumahan berdekatan.
Sham dan Praboo
     “3 + 1,” begitulah Shariff selalu menyebut mengenai kemudahan yang diberikan oleh Sham dalam usaha menentukan topik keesokan paginya. Shariff cuma perlu membayar tiga akhbar dan dapat satu percuma untuk dibawa pulang dan boleh membaca semua akhbar yang ada, semahu-mahunya.
     “Aku perlu rujuk semua akhbar. Kalau nak beli semua, mana terdaya!,” kata-kata yang selalu disebutkannya.
     Sebelum sesi sumbang saran (brainstorming) menentukan topik perbincangan esok, kami biasanya menolong Sham memasukkan suplemen ke celah-celah akhbar utama. Mula-mula dulu perlahan, kini semakin laju.
     Dengan bertemankan teh halia atau Milo/ teh O (Shariff) serta roti canai, tose atau capati, kami memulakan perdebatan. Biasanya Shariff memulakan cadangan.
     Aku pula memberi second opinion dan kadang-kadang sengaja memprovokasi bagi memastikan topik yang dipilihnya kukuh dalam pemikiran.
     “Sudah berapa hari kau main isu Bersih. Sesekali penonton mahu juga `bersantai’ dengan isu-isu human-interest walaupun ada kaitan dengan politik. Pandangan Zam agar semua parti politik diberi peluang di tv untuk berkempen yang disiarkan Sinar Harian cukup menarik,” aku memberi pandangan.
     “Soalnya, mengapa Zam tak laksanakan sewaktu dia jadi Menteri Penerangan dulu?,” tanyanya kembali.
     Aku bungkam.
    

Tiada ulasan: