Berbekalkan pendekatan start with the bang, aku terus mengemukakan pertanyaan demi pertanyaan dalam pertemuan antara Jawatankuasa Penaja Grup Penulis Guru dengan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) itu.
“Sejak zaman SITC siapa yang tulis buku? Sejak zaman itu, siapa yang kaya dan siapa yang sering jadi mangsa?” Setiausaha KPPM yang menjadi perantara pertemuan kali pertama yang diadakan sempena projek Penulisan Berunsur Nilai Murni itu kelihatan mencuka.
Bagaimanapun, sesuai dengan pengalaman, KPPM masih kelihatan tenang walaupun sesekali riak tidak senang terpancar juga di wajah.
“Tuan-tuan jangan tuduh saya makan duit,” bentaknya. “Saya tidak menuduh Dato’ begitu,” pintasku cepat.
Memang kami akui KPPM ini penuh dengan idea. Ada sahaja gagasan baharu yang dibawanya semenjak menerajui perkhidmatan; semuanya menghala ke arah peningkatan martabat guru. Oleh sebab ingin untuk sama-sama memartabatkan profesion inilah, jawatankuasa penaja yang baru ditubuhkan pada malam sebelumnya meminta Setiausaha Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) mengatur pertemuan itu selepas majlis perasmian.
Sewaktu mesyuarat itu ada rakan yang lebih berpengalaman memberitahu, biasanya dalam projek-projek seperti ini ada penerbit yang sentiasa menunjuk prihatin dengan turut serta pada mesyuarat dan menjanjikan tajaan. Sebagai bendahari penaja, aku ditugaskan menegaskan perkara itu dalam pertemuan itu nanti.
Bagaimanapun perjumpaan malam itu tidak berjalan panjang. Yang pasti KPM meminta setiausahanya mengingatkan beliau agar setiap karya peserta projek dibayar royalti apabila buku yang dirancang, diterbitkan.
Sesuai dengan tema projek `berunsur nilai murni’ cara aku berhubung dengan KPPM cukup tidak disenangi oleh setiausahanya. Aku dimaklumkan oleh penyelaras projek, Mazlan Mohamad bahawa orang kuat KPPM kata cara aku itu tidak ada nilai murni.
“Ya ke?” Itu sahaja yang dapat aku jawab.
2 ulasan:
Apakah nilai murni yang dimaksudkan. Adakah puji-pujian yang diharapkan. Kadangkala kita perlu bertanya dan bercerita perkara yang sebenarnya kerana ia tidak sampai ke pengetahuan pihak atasan.
Itulah yang telah saya lakukan. Memang daripada segi protokol, tidak sewajarnya subordinat menegur bos nombor satu secara terbuka tetapi seperti kau kata,:banyak maklumat tak sampai kepada bos.Lebih buruk; yang baik bagai tidak sabar disampaikan; yang buruk dipendamkan.
Catat Ulasan