Cerita di Pulau Pinang rupanya tidak habis begitu sahaja. Dalam pertemuan di Kuala Lumpur, KPPM dalam ucapannya malam itu mengingatkan kami peserta projek tidak perlu ragu. “Penerbit yang akan menguruskan karya tuan-tuan dan puan-puan biasa berurusan dengan kami. Titik peluh tuan-tuan dan puan-puan akan dihargai dalam bentuk royalti.”
Oleh sebab sudah biasa berurusan dengan penerbit, aku menganggap kata-kata itu biasa sahaja. Apatalah lagi sebahagian besar kami faham, yang lebih penting adalah untuk sama-sama merealitikan hasrat beliau.
“Marilah bersama-sama memartabatkan guru. Hanya guru lebih tahu dunianya. Kerana itulah tuan-tuan yang dipilih untuk menghasilkan buku berunsur nilai murni ini,” tegasnya. “Besok buku tuan-tuan dan puan-puan akan dilancarkan di PWTC,” katanya lagi.
Kami akur dengan kenyataan itu. Projek itu menghimpunkan sebahagian besar penulis guru yang datang dari seluruh pelosok negara. Bagaimanapun penutup ucapan KPPM itu semacam merujuknya kepada aku.
“Dalam perjuangan, kita tidak semestinya perlu menjerit untuk menang. Kadang-kadang cukup sekadar dengan berbisik!.” KPPM aku lihat selamba sahaja mengungkapkan kata-kata itu.
Sewaktu bersalaman sambil menghantarnya keluar dewan selepas selesai majlis, aku sempat berkata kepada beliau, “Biasanya Dato’, orang mudah tertidur apabila terdengar bisikan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan