Hari itu adalah hari penting buatku. Pukul lima pagi aku sudah terjaga, lalu terus ke bilik air untuk mandi. Selesai mandi, tiba-tiba aku tergelincir, aku jatuh terduduk. Pinggulku terasa amat sakit. Begitu juga kaki kananku. Dengan susah payah, aku berpaut pada muka pintu untuk bangun. Aku cuba melangkah…
”Aduh sakitnya!”
Tiba-tiba kerisauan menjengah di kotak fikiranku. Aku resah, “Macam Mana ni, ini hari pertama UPSR dan aku ditugaskan sebagai Ketua Pengawas, pukul 6 pagi aku mesti berada di bilik kebal untuk mengambil soalan peperiksaan!”
“Aduh! Sakitnya!” “Bagaimana aku hendak menjalankan tugas ku?” terlintas soalan difikiranku.
Dalam kesakitan itu, tiada lain yang kufikirkan. Aku terus menadah tangan berdoa.
“Ya Allah Ya Tuhanku! Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang! Sihatkanlah tubuh badanku ini, supaya aku dapat melaksanakan tugas-tugasku.”
Aku berasa sebak, suaraku sudah tersekat di kerongkong, air mataku sudah mula menitis. Aku terus memohon pada Allah Yang Satu.
“Ya Allah Ya Tuhanku, makbulkanlah permintaan hamba-Mu ini!”
Sebentar kemudian. aku mengatur langkah, terdengkut-dengkut aku berjalan. Tapi aku gagahi juga. Jam 6 pagi aku sudah beratur di Bilik Kebal Pejabat Pelajaran Negeri bersama pembantuku dan juga petugas-petugas lain. Aku bertugas di sebuah sekolah lebih kurang tujuh atau lapan km dari tempat itu.
Aku melakukan tugas dengan sebaik mungkin tanpa sebarang kesulitan. Semua berjalan dengan lancar. Kesakitan sudah hilang tanpa aku sedari. Dan aku pun tidak pun teringat lagi tentang kemalangan kecil yang ku alami pada pagi itu.
Peperiksaan UPSR sudah sampai ke penghujungnya. Hari itu hari ketiga dan terakhir, aku menuruni anak tangga Pejabat Pos selepas mengepos bungkusan kertas-kertas jawapan peperiksaan yang terakhir. Tiba-tiba
kakiku terasa sakit. Aku teruskan juga melangkah, tidak memperdulikan sakit itu.
kakiku terasa sakit. Aku teruskan juga melangkah, tidak memperdulikan sakit itu.
Malam itu sakitnya bertambah, aku mengurut kaki dengan minyak panas untuk mengurangkan kesakitannya.
Pagi esoknya di sekolah, Puan Hajah, kerani sekolah dan beberapa orang staff lain menegurku yang berjalan terdengkut-dengkut.
“Entahlah”, jawabku, “semalam tiba-tiba pula rasa sakit.”
“Ada jatuh kut!” kata Puan Hajah meneka.
Ketika itu barulah aku teringat, empat hari lalu, aku terjatuh dibilik air. Dan aku teringatkan doaku. Rupa-rupanya doaku sudah dimakbulkan Allah.
Memang kakiku sakit ketika melangkah, tetapi selepas itu kesakitan itu hilang tanpa aku sedari. Dan aku telah dapat melaksanakan tugas-tugas tanpa merasa sakit sedikit pun. Aku pun bercerita kepada Puan Hajah hal yang telah terjadi kepadaku.
Puan Hajah tersenyum, “Mengapa tak berdoa supaya sembuh terus, kan senang!” katanya sambil tersenyum.
“Waktu terdesak, Kak,” kataku.”Mana nak ingat hal lain-lain lagi!” sambungku sambil mengukir senyum.
Menakjubkan, rupa-rupanya Allah telah mendengar doaku pada pagi yang hening itu. Dan doaku dimakbulkan untuk selama tiga hari sehingga tamat peperiksaan UPSR! Aku sungguh terharu. Syukur Alhamdulillah! Kupanjatkan kesyukuran kepada Allah Subhanahuwata’ala.
Itulah kali terakhir aku bertugas sebagai Ketua Pengawas Peperiksaan UPSR. Tugas yang amat mencabar yang telah aku laksanakan hampir setiap tahun menjelangnya UPSR. Aku sungguh terharu.
oleh: Sharifah Intan Thalathiah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan