Di depan rumah bersama Mercedes yang tidak dapat dibawa pulang. Isteri kemudiannya mengganti dengan Mercedes C200 yang jauh lebih baharu. |
Suara cemasnya bagaimanapun tidak memeranjatkanku. Berita yang disampaikan itu, aku tahu lebih awal daripadanya. Berita ”Pemberian AP turut dibekukan kepada pelajar yang menuntut di luar negara.”
Dengan keputusan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim, Menteri Kewangan ketika itu bermakna isteriku tidak boleh membawa pulang Mercedes Benz 230E yang dibeli dengan harga £8,000.
Aku pula sebelum itu telah memanfaatkan keistimewaan sebagai pelajar dengan membawa pulang Mercedes Benz 260E yang dipesan oleh Shariff, rakan baikku.
Pada masa yang sama aku telah memiliki Mercedes Benz 190E yang turut dibawa pulang oleh seniorku. Kereta itu dijualkan kepadaku sejak di Manchester lagi kerana beliau tidak cukup duit untuk membayar duti import. Beliau turut membawa pulang Mercedes £260E ketika itu.
Walaupun turut berasa terkilan kerana isteriku tidak dapat membawa pulang Mercedesnya, apa lagi yang hendak dikata. Peraturan telah dibuat.
”Anggap saja tidak ada rezeki, ” aku cuba menyejukkan isteri.
Bagaimanapun keesokan harinya aku menerima panggilan isteri lagi. Kali ini dia bercerita bagaimana kalutnya pelajar Malaysia untuk menjual Mercedes masing-masing. Harga jualan terlalu rendah. Mat Salleh sudah tahu berita itu.
Aku cuba menenangkannya kembali dengan memintanya menjual kereta itu pada majlis lelong terbuka yang selalu diadakan di sana.
Akhirnya dengan bantuan Adam, calon kedoktoran dari Universiti Sains Malaysia, kereta itu terjual juga.
Sekali lagi isteriku semacam kesal. Sudahlah tidak dapat membawa pulang kereta kesayangan, harga jualannya rendah pula. Cuma £6,000
Melalui telefon malam itu, aku memintanya membuat matematik mudah.
”Sewaktu kita beli harganya £8,000 X 4. Waktu dijual harganya £6,000 X 6.7,” kataku sambil merujuk kadar tukaran wang semasa.
Mungkin telah tahu jawapannya, aku bagaikan terlihat isteriku tidak cemas lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan