"Yo hablo (ablo) espanol (espanyol) un poco."
Saya bertatih-tatih belajar bahasa. Dalam kelas bahasa Sepanyol di Pusat Bahasa UM itu hanya saya berketurunan Melayu.
Di UM, pelajar-pelajar baru akan diwajibkan mengambil ujian bahasa Inggeris sebanyak dua kali. Jika lulus dan dikecualikan, kami kena mengambil bahasa lain.
Saya antara pelajar yang mendapat pengecualian tersebut. Barangkali kerana pengajaran guru-guru dan persekitaran di sekolah saya (MGS dan Clifford) yang banyak membantu penguasaan bahasa Inggeris saya, menyebabkan Allah memberikan saya laluan mudah menghadapi ujian tersebut.
Dalam kelas Penulisan Kreatif dan Deskriptif itu, hanya saya, pelajar Melayu yang dikecualikan. Oleh yang demikian, saya kena mencari kelas bahasa lain. Saya bersendirian mencari kelas-kelas tersebut. Kursus Bahasa Arab penuh. Bahasa Perancis dan Mandarin juga penuh. Bahasa Jepun, lagilah penuh. Waktu itu Dasar Pandang Ke Timur sedang berjalan, jadi bahasa Jepun menjadi kegilaan pelajar untuk ikut belajar.
Akhirnya saya memilih bahasa Sepanyol. Saya bukan tidak mahu mencuba bahasa Rusia atau Itali, tetapi saya kira bahasa Sepanyol lebih mudah. Kebetulan, di TV sedang menayangkan telenovela Sepanyol yang adakalanya dialihbahasa dan adakalanya dibiarkan berbahasa asli dengan bantuan sarikata di bawahnya.
Maka merangkak-rangkaklah saya belajar bersendirian. Pensyarah untuk tahun pertama ialah seorang pensyarah wanita dari Amerika. Comel cantik berusia dalam lingkungan hujung 40-an. Kemudian tahun-tahun seterusnya pensyarah dari Filifina, lelaki. Namanya saya abadikan dalam tesis saya sebuah novel yang mengkaji kehidupan pelarian Vietnam.
Pensyarah lelaki ini pun bagus, cuma loghat Tagalognya sangat kuat. Jadi, saya perlu mendengar bahasa Inggerisnya dengan betul, supaya saya dapat memahami apa yang diajar. Sudah tentu kami belajar bahasa Sepanyol dengan bahasa penghantarnya bahasa Inggeris. Maestro tidak tahu berbahasa Melayu.
Selain peperiksaan bertulis, kena menulis esei dan soalan struktur dalam bahasa itu; kami juga ada ujian lisan. Saya masih ingat, soalan yang saya dapat ialah mengenai kereta. Tunggang terbaliklah saya bersoal jawab sampai tergulung-gulung lidah dibuatnya.
Maestro banyak mengajar menggunakan lagu Julio (Hulio) Iglesias. Sampai saya boleh hafal lagu-lagunya waktu itu.
Dalam bahasa Sepanyol, huruf J dan H itu ada, tetapi untuk menyebutnya, kedua-dua fonem itu disenyapkan. Contohnya ejaan "Hola" akan diujar sebagai "Ola". Bagi "Julio", fonem J disenyapkan dan sebutannya menjadi "Hulio".
"Mi nombre es senorita (senyorita) xxxxxx. Yo estudiante en el universidad de malaya" Saya belajar ayat yang pertama. Kena hafal sebab itu yang akan ditanya oleh maestro setiap kali kuliah bermula.
Seronok belajar bahasa, cuma saya sukar untuk berbincang kerana rakan-rakan yang lebih kurang sepuluh orang itu, semuanya daripada fakulti berlainan. Ada yang sedang mengambil sarjana. Yang bakinya seperti saya, sedang bertungkus-lumus mengejar sarjana muda.
Tetapi tiga tahun itu benar-benar menggembirakan saya sebab maestro sangat mengambil berat. Setelah dia balik ke Manila pun, kami masih berutus surat. Sudah tentu isi suratnya bercampur-campur, bahasa Sepanyol dan Inggeris.
Keputusan peperiksaan kertas bahasa Sepanyol saya mendapat A. Alhamdulillah. Saya dengar ada kawan-kawan yang meneruskan pengajian ke Barcelona. Tapi saya belajar hanya setakat itu. Sekarang kalau mendengar orang berbahasa Sepanyol, bolehlah saya faham sedikit-sedikit. Tapi untuk bertutur, saya sudah lupa.
Itulah kata orang, kalau kita tidak sentiasa bercakap, penguasaan bahasa kita akan hilang. Sekarang, saya mengajar Pengajian Melayu, kalau bercakap Inggeris pun sudah gagap-gagap sedikit. Nasib baik kedua-dua anak saya memang menguasai bahasa itu dengan baik. Ini kerana sejak kecil, mereka sudah terdedah dengan bahan bacaan dan bahan-bahan audio dalam bahasa Inggeris.
Tetapi saya selalu ingatkan, bahasa jiwa bangsa. Belajarlah dan kuasailah bahasa apa pun tetapi mesti selalu bangga dengan bahasa kita. Bahasa kita mudah lentur, sama seperti resam bangsanya juga. Mudah menerima pengaruh dan unsur asing. Mudah dilentur-lenturkan!
Masih ingat lagu La isla bonita? The beautiful island. Pulau sifatnya perempuan, maka dia menjadi La isla bonita.
Buenas dias!
oleh: Ratna Laila
Tiada ulasan:
Catat Ulasan