Pak Halim menunjuk tanda jempolan kerana projek hampir selesai |
Pak Halim tiada di sini. Ini karyawan Pak Ishak Abdullah Makrifat Maut yang sedang membina banglo adik bongsu Sang Pencerita, Wahida Abu |
Menurut Id sejak megambil Pak Halim; kebun pisang dan limau kasturi di tepi laluan kereta api Labu-Tiroi bersih.
“Kau jangan risau dengan dia. Apa yang aku cakap, dia akan buat tanpa membantah. Baik budak Bandung tu,” Id terus memperkukuh cadangan. “Endorsement. Budaya pengiktirafan yang semakin hilang dalam budaya kerja Malaysia turut menjadi amalan sepupuku. Aku bangga kerana turut mengamalkan apa yang dilakukan sepupunya sejak sekian lama,” hati menyebut.
Oleh itu, aku terus balik kampung sebaik-baik menelefon. Elok aku terus bertemu dengannya yang ketika itu bersama Id di gerai mamak dekat Stesen Komuter Tiroi.
Benar kata Id. Sekali bertemu, Pak Halim yang aku agak berusia awal tiga puluhan itu tinggi budi bahasanya.
Seperti biasa aku cepat mesra walaupun dengan orang yang pertama kali bertemu. Syaratnya dia perlu menampakkan wajah ceria, responsif dan memapar watak kuat agama.
“Jangan risau Pak Zul! Saya akan kerja kebun bapak macam kebun saya,” kata Halim yang sengaja aku panggil Pak Halim itu dalam loghat Jawa yang tidak begitu pekat.
Seperti yang dibincangkan, aku bersetuju menyerahkan tugas membersih dan menanam semula kebun getah yang cuma sekali aku jenguk kira-kira 10 tahun yang lalu. Kebun getah itu peninggalan mentua.
Walaupun begitu aku masih boleh mengingat kedudukan kebun itu yang cuma terletak di belakang tempat membancuh simen kegunaan industri berhampiran Perkampungan Orang Asli, Sebir, Labu.
“It’s easy to remember!,” jelas bapa mentuaku yang berasal dari Clapham Junction, London.
Allahyarham bapa mentua memberitahu cuma kebunnya ada longkang besar di sekiling kawasan seluas dua ekar itu.
“Ini dia!,” kataku pada Pak Halim setelah meredah semak kira-kira setengah kilometer dari jalan Seremban-Labu, sewaktu bertemu longkang yang mula terkambus.
Pak Halim ternyata prihatin dengan keselamatanku. “Pak baik-baik. Di situ ada tebuan,” katanya segera sambil melangkah ke depan seolah-olah ingin mempertahankan aku sekiranya di serang.
“Fantastik!,” fikirku. Pak Halim sanggup disengat tebuan semata-mata untuk mempertahankan `tuan’ yang baru dikenalinya.
Pagi itu tidak selesai begitu sahaja. MOU dipersetujui. Pak Halim minta RM2,500 untuk kerja-kerja menebas dan membakar supaya pokok getah yang sudah tiada, boleh disulam kembali.
“Saya fikir saya mahu ajak tiga orang lagi kawan. Tiga minggu boleh siap,”katanya dalam nada penuh yakin.
Aku pula memberitahunya supaya tunggu arahanku selanjutnya sebelum bertindak.
“Oleh kerana kebun ini pernah terbengkalai, saya kena dapat persetujuan Risda dulu untuk dikerjakan kembali,” kataku.
“Kalau tidak saya tidak akan dapat bantuan tanam semula nanti,” aku memberi penerangan. Pak Halim mengangguk tanda faham.
Seminggu kemudian Pak Halim menelefon.
“Pak Zul! Kebunnya sudah siap dibersihkan,” nada bangga jelas kedengaran.
Aku tersentak.
“Bukankah saya sudah beritahu dulu, tunggu arahan saya.”
“Begini Pak Zul, setelah kerja satu hari, saya fikir kebun tu tak boleh ditebas. Semaknya sudah tinggi. Jadi saya pakai jentolak.
“Pakai jentolak?”
“Ya saya upah Cina Batu 8. Anak Pak Lim! Empat hari pak. Satu hari kena RM350.00
“Aaagh!,” aku mendengus. Kalau hendak pakai jentolak, aku tak perlu mencari Pak Halim. Pak Lim kawan abah aku. Kawan sama-sama pikat dan bela burung merbuk.
Sewaktu membersihkan kebun berhampiran rumah mentua yang `dilamar’ broker Shell untuk stesen minyak, aku sudahpun menggunakan khidmat anak Pak Lim.
“Kita mahu beri dia wang. Dia beri pula kepada anak Pak Lim,” aku merungut sendirian.
“Dia mahu upah hari inilah Pak!”
Aku tersentak.
“Sudah….Pak Halim!. Lain kali jangan bugt macam ini lagi. Susah saya.”
“Saya minta maaf Pak. Lain kali saya tak buat lagi.”
“Saya bukan marah Pak Halim. Saya risau Pak Halim tersilap kebun. Nanti duit saya habis, kebun orang yang terang.”
“Aduuuuuuh! Terdengar keluhan dari kejauhan.
Oleh kerana hari sudah jauh petang, aku berjanji dengannya untuk datang keesokan paginya.
“Aaaagh!” Ternyata Pak Halim lega. Kebun yang dibersihkan itu memang kebunku.
“Syukur ya Allah!” aku terlihat Pak Halim menadah tangan di udara sambil matanya terlelap seketika.
“Pak! Saya janji tak ulang kesalahan yang sama,” janjinya.
“Terus-terang. Malam tadi saya enggak boleh tidur sepejing. Risau kalau tersalah kebun.”
Aku melihat air jernih bergenang di mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan