Sewaktu cuti semester musim panas tahun itu, aku menyertai Zul Maulud, Zawawi dan Hamzah bekerja di kilang pembekal pisang yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumah.
Selain dapat memenuhkan masa, duit gaji itu nanti boleh juga digunakan untuk menampung perbelanjaan ke Eropah, lawatan anjuran Malaysian Community of Cheetham Hill (MCCH).
Kami dibayar £4 sejam ketika itu. Sehari bekerja selama lapan jam. Ini bermakna kami dapat kira-kira £30 sehari, setelah ditolak komisen agensi pekerjaan. Kadang-kadang untuk menyejukkan hati, kami kira gaji sehari dalam ringgit Malaysia. £30 bermakna RM120.00
Kerja di kilang ini bukanlah susah sangat. Hanya memastikan setiap sisir pisang mengandung enam biji. Buah yang tidak memenuhi kawalan kualiti, perlu diasingkan.
Pisang yang akan lalu pada mesin pembungkus pula akan dilabelkan tarikh luputnya oleh pekerja yang terkemudian.
Walaupun di England orang tidak menanam pisang, kilang tempat aku bekerja ini membekalkan pisang embun (pisang montel) ke seluruh rangkaian Sainsbury yang dimaklumkan mempunyai lebih 500 cawangan.
Walaupun hanya kilang pisang, Mat Salleh ini mengusahakan perniagaannya secara besar-besaran. Pisang yang belum berapa tua diimport dari negara-nega Carribean dan dimasukkan dalam beberapa bilik cantik yang dikawal suhunya. Melalui cara ini, pengusaha kilang boleh mengawal pula bekalan.
Banyak benda baru yang kami pelajari di sini. Selain dapat merumuskan bahawa perniagaan itu boleh berkembang maju dengan teknologi tinggi yang dijalankan secara besar-besaran pula, sikap jujur pengusaha boleh menjadi teladan.
Selain memastikan pisang-pisang itu memenuhi spesifikasi kualiti, pada setiap hari Jumaat pengusaha kilang menghadiahkan setiap antara kami sekotak pisang. Lebih mengharukan, sekotak pisang yang diberikan diambil daripada stok yang akan dihantar ke Sainsbury; bukannya pisang yang tidak memenuhi kawalan kualiti (di Malaysia biasanya tauke kedai membalas budi pekerjanya dengan pisang yang tidak laku).
Biasanya jiran-jiran kami tidak perlu membeli buah-buahan pada setiap hujung minggu. Sekotak pisang itu tidak habis kami makan sekeluarga.
Sambil mengadap cucur kuduk pisang setiap hujung minggu, kami selalu bercerita sesama sendiri;
”Aku yakin kilang pisang ini boleh bertahan lama. Walaupun mereka Yahudi tapi mereka tahu erti istilah berkat!,” kataku menjolok provokasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan