Sebagaimana yang dirancang, aku menunggu Siti Haryati, anak sulung kami di Lapangan Terbang Manchester pagi itu. Haryati yang baru selesai peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), akan tiba melalui pesawat Penerbangan Malaysia, Kuala Lumpur-Machester yang baru diperkenalkan tahun itu.
Walaupun beberapa kali kami menasihatkannya untuk terus kekal belajar di Sekolah Tun Fatimah (STF), sekolah yang berwibawa itu, dia tetap hendak bersama kami di Manchester. Walaupun dijanjikan boleh bercuti di sini setiap kali cuti, dia tetap mahu meneruskan pengajiannya bersama kami.
Aku dapat mengagak sebabnya. Dia bagaikan cemburu apabila kami hanya akan bersama adiknya, Siti Atiqah yang baru berusia tidak sampai satu tahun ketika itu.
Mungkin merasakan kasih kami terhadapnya semakin menipis sejak adanya Siti Atiqah (beza umur mereka kira-kira 15 tahun), Haryati tetap mahu datang. Beliau bersedia untuk memenuhi permintaanku, belajar dengan cemerlang sebagaimana yang ditunjukkan sejak sekolah rendah lagi.
Sebelum berangkat, isteriku telah meminta aku menelefon adik ipar kami, Junaidi membelikan pelbagai keperluan yang akan turut dibawa bersama
Haryati. Antaranya, kari daging dan ayam, cili api, ikan kering, ikan bilis dan beberapa keperluan lain. Kononnya segala-galanya mahal di Manchester. Sebaik-baik terpacul di pintu keluar, aku melihar Haryati sedang menyorong beg besarnya bersama beberapa buah kotak yang agak besar juga. Selepas menyampaikan salam nenek dan datuknya kepadaku, dia terus mengadu.
”Haryati kena bayar denda RM600 di Subang tadi. Terlebih berat,” katanya semacam kesal.
Selain membawa sebahagian besar koleksi pakaiannya bersama kotak berisi barang keperluan, ia diberatkan lagi dengan kiriman kedua-dua neneknya yang berupa pucuk paku, pucuk ubi dan pelbagai sayuran kampung lagi.
Ketika itu aku teringat, wang tiket perjalanan pergi balik Subang-Manchester cuma membabitkan RM1,700 tetapi wang denda lebihan berat hampir menyamai tiket perjalanan satu arah.
”Pandai sangatlah matematik ibu kau tu,” kata aku kepada Haryati sambil berjalan menuju ke kereta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan