Tan Sri Isa Samad |
Biasanya penulis berasa bangga apabila berpeluang menulis biografi orang besar. Kalau di peringkat negara, tentunya akan disebut orang “Itulah penulis biografi Mahathir atau Abdullah Ahmad Badawi atau Najib.”
Di peringkat negeri, siapa lagi orang paling besar (maksudnya yang ada kuasa eksekutif) selain Menteri Besar atau Ketua Menteri.
Entah kenapa, aku diberi kepercayaan menulis biografi Mohd Isa Samad sewaktu menyambut Ulang Tahun Ke-20 `Bertakhta'. Buku itu bukan Mohd Isa yang suruh tulis tapi orang-orang di Pejabat SUK. “Kami nak hadiahkan kepada Dato’ sempena sambutan 20 Tahun jadi MB nanti,” katanya.
Yang menjadi mangsa, Suara Negeri (akhbar rasmi Kerajaan Negeri). Bajet salah satu keluaran khasnya yang bernilai RM55,000 terpaksa dikorbankan untuk buku ini.
Oleh kerana aku diberi masa cuma dua minggu dari peringkat penyelidikan sehingga dicetak kulit tebal, aku mengajak rakanku Juriyati Mat Jalil dan suaminya, Fuad Yahya untuk membantu menulis kandungan.
Alhamdulillah! Dengan bantuan Allahyarhamah Hazizah Haji Tumin (isteri Mohd Isa) coffee-table book itu dapat disiapkan pada masanya. Allahyarhamah bukan sahaja membekalkan foto-foto biasa kegiatan harian suaminya tapi yang bersifat eksklusif membabitkan keluarga.
Allahyarhamah Datin Hajah Hazizah |
Buku yang berjudul “Mohd Isa: Sesungguhnya Dia Milik Rakyat” itu mengandungi 160 halaman dan semuanya warna. Kerja-kerja rekabentuknya dilakukan anak sulungku sendiri yang sedang belajar di Universiti Multimedia. Siti Haryati, pelajar program Multimedia Kreatif itu cuma mengambil masa dua hari sewaktu balik hujung minggu untuk menyiapkannya dan aku membayarnya RM5,000.
Sebelum itu aku `dicukai’ RM5,000 oleh orang pejabat SUK dengan alasan untuk Tabung Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Sewaktu aku hendak menjelaskannya dalam bentuk cek supaya dapat aku tuliskan nama persatuan itu, dia meminta “Beri tunai sahajalah. Senang!”
Duit bukan persoalan (cuma aku bimbang BPR) tapi lebih kepada cerita pada malam pelancaran. Sewaktu ramai yang meminta tanda tangan Mohd Isa walau majlis belum usai, aku terpaksa menunggu selepas majlis reda untuk mendapatkan tandatangannya.
Aku lihat Mohd Isa ceria sekali melayan rakyat (tentunya yang lebih rakan politiknya) yang bagaikan berebut untuk mendapat tanda tangan dalam kerlipan lampu pancar kamera Leong Weng Onn dan rakan-rakan media yang lain.
Selepas aku lihat keadaan agak reda, aku mendekatinya. “Dato’! Tolong tanda tangan,” kataku pendek. Bagaikan tidak ada sesuatu yang mengejut atau mengujakan dalam selamba, dia berkata “Dekat mana?”
Aku juga berasa malu ketika meminta rakanku, Leong Weng Onn merakamkan foto ini. Mohd Isa tidak terujapun.
Bagi mereka yang melihat foto ini khususnya rakan-rakanku, mereka tentu berasa bangga kawannya bergambar dengan Menteri Besar yang ditulis kisahnya. Bagaimanapun biarlah aku mengaku, “Tak Bangga Pun!”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan