Isnin, 18 Julai 2011

TIP 4: MENULIS SEJUJURNYA

“Geng! Kau tak takut ke? Aku tengok posting kau akhir-akhir ini penuh cerita berprofil tinggi?,” rata-rata rakan penjenguk blog setiaku memberi reaksi, sewaktu bertemu.
     “Takut apa?,” aku sengaja memprovokasi; bukannya hendak bersifat riak tetapi cuba mengajak mereka berfikir di luar kotak.
     “Berani kau tulis cerita MB, cerita Mak Datin, cerita bekas bos kau malah cerita KPPM dan Pengarah Pelajaran Negeri!”
     “Kenapa? Mereka itu, bukan macam kita ke? Kentut mereka busuk juga.”
     “Actionnya kau! Kau memang tak mahu belajar kisah lalu. Kau tak serikkah? Bukankah kau pernah sakit berkali-kali dan bila ke hospital, doktor kata kau tidak apa-apa,” tanya salah seorang daripada sahabat setiaku yang tahu macam-macam mengenai diriku.
     “Geng! Kau pernah sampai peringkat membuat city scanning kerana hendak tahu juga penyakit kau. Tup! Tup! Doktor kata kau enggak ada apa-apa dan peliknya kau tak percaya bomoh!,” dia semakin merendahkan suara. Dia tahu pendirianku.
     “Allah memiliki dan menentukan semuanya. Aku redha,” jawabku untuk membunuh pertanyaan lanjut.
     Melalui posting kali ini, aku ingin menyatakan pendirian blog ini. Secara sedar, aku ingin membuat kelainan. Tak kisahlah kalau ada orang kata aku import amalan terbuka masyarakat barat – “Mentang-mentanglah belajar di UK, nak bawa pula amalan Yahudi itu.”
     Amalan Yahudi? Menyatakan kebenaran walaupun pahit bukankah perintah Allah dan mengikut sunah Rasulullah? Hidup adalah benar. Mati adalah benar. Syurga adalah benar. Neraka adalah benar. Menyatakan kebenaran adalah dituntut, adalah BENAR. Bersekongkol dengan sifat mazmumah, neraka ganjarannya adalah BENAR. Jadi apa persoalannya?
     Di sini juga ingin ditegaskan, ceritaapaapasaja bukan platform untuk mengutuk orang, bukan gelanggang hendak tunjuk akulah yang BENAR segala-galanya dan orang lain buruk belaka (siapa kita?). Kita manusia yang lemah dan sentiasa berada dalam kerugian.
     Allah telah menciptakan bahawa setiap umat Adam ada buruk, ada baiknya; ada kuat, ada lemahnya; ada naik, ada turunnya, ada yang kaya, ada yang miskin.
     Allah maha adil. DIA tidak memberi semuanya kepada seorang sahaja. Jadi, mengapa harus marah dan mengambil tindakan mahkamah atas alasan penulis itu, penulis ini menjatuhkan maruahnya dengan tuntutan yang SUDAH TAHU tidak boleh dibayarnya?
     Jadi kepada penulis atau bakal penyumbang karya untuk blog ini (Insya-Allah dengan izin-Nya akan dibukukan) menulislah sejujurnya – menulis semata-mata kerana Allah. Karya yang terhasil daripada hati, selain lebih enak dibaca, juga adalah jariah. “Sebagai khalifah Allah di muka bumi, berpesan-pesan dan menyampaikanlah sesama kamu.”
     Antara contoh yang saya dapat kesan pendekatan menulis sejujurnya ialah tulisan bekas pelajar saya, Salleh Abu Hasan Cilok Ilmu Pensyarah (Hikayat Abad 21), Dikejar Ayam Togel, karya Nen (Cerita Sebelum Tidur) dan Ke mana Hilangnya...? (Sewaktu Kecilku), tulisan Sharifah Intan Thalathiah.
     Jadi marilah bersama-sama kita dengan sedar menyatakan kebenaran sejujurnya. Hanya Allah yang mengetahui – tidak perlu dirisaukan mereka yang dipinjamkan jawatan dan gelaran yang kita sendiri kategorikan tinggi. Jangan salahkan sesiapa – kita sendiri yang membina MITOS itu dan MITOS itu pula MENYEMPITKAN kita? Siapa suruh bina MITOS?
     Antara sifat mazmumah yang menghilangkan rasa bahagia di hati:
1.      Pemarah
2.      Pendendam
3.      Hasad Dengki
4.      Bakhil
5.      Tamak
6.      Tidak Sabar
7.      Ego (Riak)
8.      Cinta Dunia

Tiada ulasan: