Di restoran ini setiap awal pagi, aku mendapat idea baru... |
Seorang kawan yang cukup berminat untuk menyumbang cerita ke blog ini, masih memberi alasan yang sama. “Tak ada cerita yang menariklah!,” katanya pada suatu awal pagi sambil menghirup Kopi Janda.
“Kau nampak tu?” aku menunjuk ke arah beberapa pekerja restoran mamak yang dibuka 24 jam di Taman Paroi Jaya.
“Nampak. Kenapa?,” tanyanya kembali semacam masih pisat-pisat.
“Kau kata, cerita rakyat Malaysia sudah tidak menarik lagi. Maknanya kalau setiap seorang rakyat Malaysia sudah ditulis ceritanya, sudah ada 27 juta cerita. Sudah tidak ada cerita yang tinggal lagilah untuk ditulis,” aku mengusik.
“Ce… kau!,” reaksi spontannya dalam ketawa terkekeh-kekeh.
Bertitik-tolak daripada perbincangan santai ini, terfikir oleh saya untuk membangunkan satu lagi kategori – Alkisahnya Pendatang!
Saya sengaja mewujudkan banyak kategori dengan tujuan bagi membolehkan penyumbang cerita ke blog ini lebih terarah dan fokus sewaktu menghasilkannya.
Sebagai contoh, sewaktu awal dibangunkan, saya memuatkan cerita-cerita pembabitan saya dalam pelbagai pekerjaan dalam kategori `Di Tempat Kerja’.
Bagaimanapun ia dipinda kira-kira sebulan kemudian atas alasan ini. Ekorannya timbullah kategori baru `Cerita Cikgu’, `Dunia Media’, `Kisah Penulis’ dan pelbagai lagi. Bukankah puluhan, ratusan malah ri..an kategori boleh terbina? Maka… ceritaapaapasaja tidak akan habis sehingga bila-bila. Insya-Allah!
Bagi memudahkan penyumbang, saya mulakan kategori baru ini dengan memaparkan beberapa cerita sewaktu berhubung dengan pendatang (istilah ini digunakan tidak sesekali bertujuan menghina) dalam tempoh sehari dua ini. Sudah pasti, idea cerita ini diperolehi di restoran mamak ini.
Ini ceritanya...
Kosa kata dialek Negeri Sembilan
Pisat-pisat – suasana tidak selesa kerana baharu bangun tidur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan