Aku meneruskan bacaan ayat-ayat lazim semasa sesi halakah itu. Bacaan tanpa merujuk Al-Quran bagi memastikan bacaan yang sering dibaca dalam sembahyang itu, betul tajwidnya.
Tok guruku, Musa hafaz Al-Quran. Comel sekali aku melihat wajahnya berserban putih itu tertunduk-tunduk bagi memastikan bacaanku betul. Sesekali dia mencelah, “Nipiskan sedikit sebutan,” katanya sambil menunjukkan gerak mulutnya. “Suara itu sepatutnya keluar dari sini,” katanya tenang dan lembut.
Musa terus bersila sambil kepalanya terhangguk-hangguk rendah menghayati bacaan. Seorang rakanku terpaksa merujuk Al-Quran kerana dia cuma booking ayat Al-Fatihah, Al-Ikhlas dan Al-Kafirun dalam semua sembahyangnya.
Walaupun sebahagian besar kami tidak lancar kesemua ayat-ayat lazim itu, sesi keluar berjemaah tiga hari itu benar-benar mengajar kami – untuk apa malu belajar walaupun sudah tua. Malah, kami bergaul tanpa membezakan sama ada dia berumur 12 tahun atau 58 tahun.
Entah apa hikmahnya. Mungkin metodologi latihan jemaah ini yang lebih berorientasikan praktik. Sejak bangun tidur hingga masuk tidur kembali, semuanya dilakukan melalui amalan mengikut perintah Allah dan sunah Rasul. Kalau di masjid selalunya, penceramah bercakap dan jemaah mendengar.
Di sinilah, waktu usia seorang pesara baru berpeluang untuk melaungkan azan. Di sini jugalah aku diberi kesempatan menyampaikan syarahan agama selepas Asar – duduk di mehrab sambil rakan-rakan jemaah lain duduk rapat mendengar dengan khusyuk.
“Aaaaah! Tidak sama suasananya sewaktu berhadapan dengan ratusan pelajar di dewan kuliah sewaktu di Institut Pendidikan Guru (IPG) dulu.”
Seronoknya, salah seorang jemaah surau yang mendengar adalah mantan Timbalan Pengarah aku sewaktu di IPG dulu. Aku perhatikan dia bagai tidak dapat membayangkan aku boleh berada di situ.
Selepas sesi itu, kami dibenarkan berehat seketika sebelum masuk waktu Maghrib. Aku lihat Tok Guruku mengambil kesempatan bermain tembak-tembak dengan rakan seusianya di bilik kuliah surau. Tok Guruku, pelajar tingkatan satu, salah sebuah sekolah hafiz di Kelang, Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan