Rabu, 20 Julai 2011

Tragedi Buah Epal




Setelah kira-kira dua minggu di sini, aku sudah mula kenal London. London yang dimegah-megahkan orang tapi aku sudah kencing di jambannya. Siapa sangka, budak bertubuh kecil kurus yang selalu dituduh `tarik ganja’ ini akan belajar di sini; belajar filem pula – macam Jins Shamsudin. 
     Dulu melalui tv sahaja aku lihat orang London naik tube tapi kini aku sudah jejak kaki di stesen Trafalgar Square, Marble Arch, Paddington, Baker Street, Piccadilly Circus dan macam-macam nama lagi. Sibuk aku suruh kawan ambil gambar dengan latar belakang nama stesen-stesen ini. “Nak hantar kampung wareh!”
     Bukanlah nak riak. Sebenarnya aku tak berasa asing sangat dengan nama-nama ini kerana sewaktu kecil dulu aku biasa main Monopoly.
     Sehari-dua ini aku sudah pandai naik tube sendiri tanpa ditemankan kawan serumah.
     “Tak do lah hebat eh.. London ni!,” kadang-kadang terfikir juga aku dalam dialek Negeri Sembilanku yang pekat. Tambah-tambah waktu panik.
     Manakan tidak, sewaktu di bawa jalan-jalan ronda kota London, asyik-asyik aku jumpa tempat yang sama – Piccadilly, Paddington, Marble Arch, Oxford Street dan nama-nama yang biasa aku jumpa.
   "Tak dolah bosa bona London ni!," fikir hati.
     Bila sebut Oxford Street yang selalu heboh orang kampung kata syurga membeli-belah, biar aku berterus-terang ,”tak do handa eh doh wareh!”
     “Ontahlah! Kodai eh buruk. Bangunan lamo! Tang mano nak dikatokan handa tu?”
     Dipendekkan cerita, masuk minggu ketiga, kawan serumah ajak aku jalan-jalan  di luar kota London pula – ke Cardiff, kota yang turut dikenali dengan budaya Celticnya, macam di Edinburg dan Wales (sebenarnya kelas tak bermula lagi, jadi dapat juga aku baca serba-sedikit mengenai budaya Orang Putih).
     Kenapa ke Cardiff? Kawan-kawan ajak untuk rasa sendiri apa itu fruit-picking (alah.. kutip buah di di dusun. Makan sepuas-puasnya, kemudian bayar).
     Jadi, kami ke dusun epal dulu. Aku teruja juga. Maklumlah sebelum ini hanya tahu petik rambutan dan langsat.
     Apa lagi, sebaik-baik masuk ke dusun aku segera menyambar sebiji epal hijau yang paling besar di pohon itu. Tanpa sempat mengusap-ngusapnya (membersihkan) sebagaimana aku lihat Orang Putih buat, aku terus `Ngap!’
     Tidak sampai seminit, apa yang aku hunggeh bertaburan keluar.
     “Aduuuuuuh! Masam ehhhh!.”
     “Memanglah masam. Epal tu bukan epal yang selalu kaumakan. Itu cooking-apple. Epal yang dijual untuk dimasak,” kata kawanku tergelak.
     Egoku tercalar dan aku mula sedar, “Di sini, di dusun ini; bukannya Serting!”
oleh: Shahhilan M. Alias

Kosakata Dialek Negeri Sembilan
Tak do – tiada/ tidak
Handa – handal
Ontahlah - entahlah
Kodai - kedai
Bosa bona - besar benar bukan biso bona (lagu Hattan)
Wareh – waris (kata panggilan yang membawa konotasi mesra. Hampir sama dengan `la hawau’ di Melaka.
Hunggeh – makan gelojoh dengan menggigit. Hampir seerti dengan epong.

Tiada ulasan: