Bukan pelik `orang bunuh orang’ kerana tak makan. Bagaimanapun hari ini, aku yang cukup dikenali antara manusia paling sabar (kata kawan-kawanlah) hilang sabar; bukan pasal tak makan tapi pasal talian – Streamyx milik Telekom Malaysia TM).
Puncanya pasal bil. Bukan aku tak mahu bayar (cuba semak rekod lalu, aku antara manusia pembayar bil setia di Malaysia) tapi karenah pengurusan memungkinkan perkara ini berlaku.
Sejak hampir setengah tahun yang lalu, aku tidak menerima lagi bil telefon di rumah. Kononnya, akaun atas nama anak yang bekerja di TM boleh disemak dalam talian. Jadi, setiap bulan aku terpaksa `mengadap’ kakitangan TM Point berhampiran Pasar Besar, Seremban. Tidak malu mengaku, terkadang-kadang terlewat jua.
Sejak petang semalam, talian disekat. Aduuuuh! Sewaktu perkhidmatan teramat diperlukan, talian pula tiada. Dalam kesibukan, kira-kira jam 2.00 petang `mengadap’ lagi TM Point (mulai beberapa bulan kebelakangan ini, bil lain dibayar melalui CIMB Clicks).
Kata kakitangan TM Point, jumlah caj semasa RM100.40, ditambah caj tertunggak RM23.70 maka jadilah RM124.15 (Rujuk Bil 28/07/2011 144150 TS21613 0003396780 014).
Tanpa membantah wang dihulur di kaunter dan sempat pula memberitahu petugasnya “Minta tolong cepat sambungkan ya! `Hidup mati’ saya memang dengan internet. I’m a blogger and this is my card,” sambil tangan menghulurkannya. Dia menyambut dengan senyum. “Hantarlah cerita...!,” kataku lagi.
Sampai di rumah, signal data di modem masih tidak menyala. “Sudaaah!,” fikir hati. Pencetak sudah beberapa kali menelefon “Tolong ya! Fail PDF buku yang you hantar, teksnya tidak 100% black. Teks keluar dalam salinan Cyan, Yellow, Magenta dan Black,” katanya.
Ghazali Ngah Azia, penerbit buku-buku berkenaan sudah ke Terengganu. Jadi aku terpaksa berhubung dengan designernya (namanya rahsia). Biasanya aku memanfaatkan khidmat beborak di Facebook untuk berbincang tapi bagaimana mahu lakukan tanpa talian? Telefon jadi mangsa. Tak tahu berapa bilnya nanti (yang untung TM juga kerana aku dapat talian milik anak).
Nombor 100 didail lagi (membuang masa kerana terpaksa mendengar khutbah dulu) lalu bertukar ke nombor 1300888123 (toll free), begitu juga.
“Maaf Encik! Kami di bahagian teknikal tidak boleh berbuat apa-apa. Bahagian bayaran perlu buat clerance dulu, baru kami boleh buat sambungan,” katanya.
“Masalahnya apa?,” saya mula tidak dapat mengawal perasaan.
“Bil encik!”
Begitulah biasanya, pengguna di Malaysia tetap akan berada dalam kedudukan rugi (teringat pula: Sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian).
Mengapa tidak? Bila bil dibayar awal seminggu, tak pernah berterima kasih tapi kalau lewat sehari, perkhidmatan terus ditamatkan!
“Jadi bila perkhidmatan disambung?”
“Dalam tempoh 24 jam.”
“24 jam! Sekarang jam 6.00 petang. Maknanya jam 6.00 petang besok akan disambung? Sempatlah penerbit yang memberi kepercayaan menguruskan percetakan bernilai ratusan ribu ringgit itu menarik balik kerja yang diberikan,” aku mula menyinga.
Sambil merenung modem yang tidak menyala lampu datanya, aku segera menelefon anak.
“Ti, ayah tak bangga kau berkerja di TM. Bagaimana mahu melayan pelanggan lain, nak melayan ayah stafpun TM tak tahu. Beruntung TM ada kuasa MONOPOLI,” kataku.
Entah apa yang dilakukan oleh anakku, sewaktu hendak naik ke tingkat atas rumahku, aku terpandang lampu data sudah menyala.
Aku lantas menelefon nombor 1300888123 kembali.
“Apa masalahnya Encik?”
“Bukan masalah.”
“Jadi.”
“Saya hendak mengucapkan terima kasih kerana perkhidmatan streamyx saya sudah disambungkan.”
“Macam mana Encik? Saya tidak faham.”
“Selalu orang pandai komplen sahaja apabila tidak puas hati. Saya pula terdidik pandai komplen dan pandai juga mengucapkan terima kasih,” kataku.
Aku tidak dapat melihat wajah kakitangan di hujung talian tapi aku yakin dia sedang terlopong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan