Kassim Ahmad (PSRM), Allahyarham Cikgu Malik Mohamad dan tukang catat sewaktu Pililihanraya Kecil Air Putih, Kemaman, Terengganu (1976) |
Dulu, kalau ada gerai yang laris jualannya maka adalah yang dengki dengan meletakkan santau supaya pelanggan tidak datang lagi dan gerainya pula menjadi tumpuan. Cerita itu bukan sahaja dikatakan berlaku seperti di Lenggeng, Negeri Sembilan tetapi ada versi yang hampir sama di gerai tepi sungai Kuala Kangsar, Perak.
Sejak dulu juga lagi, apabila ada orang Melayu buka bisnes yang sama bersebelahan gerai atau kedai; maka dikatakan memang dia hendak `bunuh’ kawan. Peliknya, apabila peniaga Cina buat perkara yang sama – mereka berjaya pula. Mereka tidak menyifatkan itu persaingan tetapi perkongsian – perkongsian pintar namanya. Mereka saling bantu-membantu.
Orang Melayu juga dikatakan berniaga ikut musim dan angin. Sewaktu musim kopi pracampuran, semuanya buat kilang kopi. Apabila ada yang usahakan krim pemutih muka jadi jutawan, semuanya hendak buat yang sama. Maka, apabila menyanyi dikatakan boleh jadi kaya raya, maka terbitlah Akademi Fantasia, Mentor dan pelbagai lagi.
Begitu jugalah dengan politik. Sewaktu Parti Islam Semalaysia (PAS) bagaikan meminta sedekah untuk menarik pengikut di awal perjuangannya; tidak ada kata yang muluk dan manis pernah dikatakan kepada parti itu. Semuanya buruk belaka - PAS parti kampung, PAS parti untuk orang yang mengingatkan mati dan macam-macam lagi.
Bagaimanapun suasana itu berubah kini. Muktamar PAS baru-baru ini bagai menyentak nafas manusia Melayu yang sedia bergelora. Suhu kedengkian Melayu semakin tinggi – melebihi paras air mendidih.
Jadi, kalau Ah Keong boleh bersaing sihat dengan rakan bisnes cetaknya di Jalan Nyonya, Pudu dulu hingga membawanya ke Seri Kembangan yang lebih ramai `saingannya’ kenapa Melayu yang jual nasi lemak bersebelahan perlu bermasam muka sedangkan tidak ada nasi lemak yang sama. Biarlah pelanggan yang memilihnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan