Menerima panggilan daripada pemuda di dalam bas |
Sekolah pertama aku bertugas ialah di SK Panchor, Pantai Remis, Perak. Pantai Remis ialah sebuah pekan dan pantai di daerah Manjung, Negeri Perak Darul Ridzuan. Jarak Pantai Remis dengan bandar Ipoh adalah lebih kurang 90 Km. Tiada perkhidmatan bas terus-menerus dari bandar Ipoh
ke Pantai Remis pada waktu itu. Oleh itu aku terpaksa turun-naik dan bertukar bas sebanyak empat kali sebelum sampai ke destinasi.
ke Pantai Remis pada waktu itu. Oleh itu aku terpaksa turun-naik dan bertukar bas sebanyak empat kali sebelum sampai ke destinasi.
Perjalanan pertama adalah dari bandar Ipoh ke Beruas. Beruas adalah sebuah pekan kecil. Dari situ aku akan menaiki bas ke Taiping. Dalam perjalanan ke Taiping, aku akan turun di Batu Hampar. Setelah itu aku akan menunggu dan menaiki bas untuk ke Pantai Remis dan turun di pertengahan jalan. Dari situ barulah aku naik pula bas yang menghala ke Taiping dan turun di sekolahku yang terletak dalam perjalanan ke bandar Taiping.
Perjalanan seperti ini meletihkan sebab terpaksa turun-naik bas dan menunggu lama. Begitulah juga perjalanan yang terpaksa aku tempuhi apabila hendak pulang ke Ipoh.
Namun begitu aku kerap juga pulang ke Ipoh untuk menjenguk kedua-dua ibubapaku dengan ditemani oleh sahabat karibku Ainon. Ainon juga adalah teman serumahku dan mengajar di sekolah yang sama denganku. Ainon juga berasal dari Ipoh, kampung kami bersebelahan.
Suatu hari dalam perjalanan pulang ke Ipoh, kami sudah tiba di Beruas. Setelah menunggu lama, muncullah sebuah bas yang ditunggu-tunggu. Ramai orang dalam bas, tempat duduk sudah hampir penuh. Tiada tempat kosong untuk aku dan Ainon duduk bersama. Lalu kami duduk berasingan.
Ainon duduk dibangku di belakangku, berpasangan dengan seorang perempuan Cina. Aku duduk di hadapan dekat dengan tangga bas. Disebelahku duduk seorang pemuda yang usianya hampir sebaya denganku. Mungkin dia lebih tua sedikit.
Semasa mula-mula menaiki bas, aku terpandangkan pemuda itu. Dia tersenyum sambil mengenyitkan matanya kepadaku. Aku rasa benci dan tidak membalas senyumannya itu. Tetapi terpaksa duduk juga di sebelahnya kerana ketiadaan tempat dan perjalanan juga jauh. Bila duduk sahaja disebelahnya dia mula menegurku, tapi aku tidak melayannya.
Aku menoleh ke arah bertentangan dengan muka masam. Agaknya dia pun faham bahawasanya aku tidak suka berbual dengannya. Jadi dia pun menoleh ke arah luar tingkap bas. Dalam perjalanan itu kami masing-masing melayan perasaan sendiri.
Perjalanan ke Ipoh mengambil masa yang lama, hampir dua jam lebih sebab bas berhenti-henti di sepanjang laluan. Aku sudah letih lalu tertidur. Aku tersedar hanya apabila bas sudah sampai ke stesyen bas Ipoh. Aku teramat malu apabila aku sebenarnya sudah tertidur di atas bahu lelaki tadi. Kepala lelaki itu juga terlentok di atas kepalaku.
Ainon mencuit bahuku, ketika kami berjalan turun, sambil berkata, “Amboi,
romantiknya pasangan kekasih ini ya!” usik Ainon.
romantiknya pasangan kekasih ini ya!” usik Ainon.
Aku tidak menjawab usikan Ainon. Aku berasa sungguh malu kerana terlentok di bahu lelaki itu. Sedangkan sebelum itu aku sombong kepadanya. Aku ‘jual mahal’. Bila aku menoleh ke arah belakang, aku sempat melihat lelaki itu tersenyum padaku. Aku juga tersipu-sipu lalu melangkah dengan cepat menuruni tangga bas dan berlalu pergi.
Kelakar dan melucukan kerana kami ‘orang asing’ yang menjadi sepasang ‘kekasih diperjalanan’ dan berpisah apabila sampai ke destinasi.
oleh: Sharifah Intan Thalathiah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan