Sudah seminggu aku tinggal di kuarters guru yang baru diluluskan. Perasaan sedih dan gelisah bercampur-baur. Teringatkan papa dan mama yang selama ini aku jaga sejak aku mula bertugas sebagai seorang pendidik. Terasa kehilangan mereka dalam hidupku sejak aku dihalau oleh mereka dari rumah tempoh hari.
Sejak aku berpindah ke kuarters guru, hanya al-Quran dan solat menjadi rakan karibku yang sejati. Titisan air mata beriring doa sentiasa kupohan kepada Allah semoga diberi kekuatan untuk mengharungi segala dugaan dan kepahitan yang bertandang. Aku reda dengan apa yang terjadi. Dalam kesusahan, aku sentiasa memujuk diriku untuk menjadikan Nabi Muhammad sebagai pedoman hidup.
“Apa yang aku harungi tidak sehebat yang diharungi Nabi Muhammad. Hanya orang sepertiku yang mampu merasai kesusahan dan penderitaan yang pernah dialami oleh Nabi. Memang tidak tergambar oleh kata-kata apa yang dialami. Hanya mereka yang pernah melaluinya sahaja yang mampu memahaminya.” Aku cuba memujuk diriku setiap kali fikiranku bercelaru.
Angin Laut China Selatan makin galak bertiup memasuki celah cermin tingkap. Kesegaran angin yang berhembus tidak mampu meringankan beban yang kugalas. Di kejauhan kelihatan lautan membiru yang menghadirkan ombak kuat memukul pasiran pantai. Ombak datang dan pergi tanpa simpati memukul pantai dan jika pasir mampu bersuara, pasti akan menjerit dan meraung kesakitan.
Di saat ini, fikiranku melayang mengingati teman-teman yang selama ini akrab dan membahasakan diri mereka abang kepadaku. Malah, sebelum aku menjadi seorang muslim, mereka selalu mememaniku dan memberi kata-kata perangsang kepadaku untuk menuju ke jalan benar-Islam.
“Kau jangan risau. Kalau kau masuk Islam nanti kau ada kami. Kau dah kami anggap seperti keluarga sendiri. Kalau kamu kehilangan keluarga, kamu ada kami. Kita akan mengharungi semua masalah bersama.” Itulah antara kata-kata yang pernah diucapkan kepadaku sebelum aku memeluk Islam.
Perasaan sebak tiba-tiba bertandang. Air mata jantanku yang selama ini mahal nilainya kini begitu mudah untuk membasahi pipi ku. Di manakah mereka yang selama ini berjanji dan berikrar ingin mengharungi segala kesusahanku bersama-sama? Malah penderitaan yang digalas terasa makin berat apabila mereka tidak mengambil tahu langsung tentang hidup matiku. Masih ku ingat, hatiku amat terguris ketika aku memaklumkan bahawa aku menghadapi pelbagai masalah selepas memeluk Islam. Dengan mudah jawapan yang diberi “Tak apa, kalau kau mati pun tak apa sebab kau dah Islam.”
Malah, yang lebih menyakitkan hatiku adalah ketika berbicara dengan seorang pentadbirku. Ketika itu, aku meminta pertolongannya supaya jangan membenarkan sesiapa mengambilku keluar dari kawasan sekolah kerana risau keluargaku akan bertindak demikian untuk membawa ke kembali ke agama asalku. Dengan mudah dia mengatakan “Tanggungjawab kami terhadap kamu yang baru memeluk Islam ada dua sahaja iaitu pastikan kamu cukup makan dan ada tempat tinggal.”
Sejahi-jahill aku yang baru tujuh bulan sebagai seorang Muslim tahu tanggungjawab orang Islam terhadapku lebih daripada itu. Terasa diri cukup tersiksa menanggung penderitaan ditambah pula dengan bebanan tambahan daripada masyarakat Melayu yang tidak memahami pergolakan jiwa seorang saudara yang baru memeluk Islam.
Apakah selama ini aku bertemankan rakan-rakan yang hanya ingin mengislamkan aku semata-mata? Selepas itu, aku dibiarkan hidup membawa haluan dan masalahku sendiri. Sama ada aku hidup atau mati bukan lagi menjadi tanggungjawab mereka.
“Ya Allah, Kau tabahkanlah hatiku. Kekalkanlah imanku dalam Islam. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Mengetahui dan Maha Pengasih.”
oleh: Muhammad Irfan Nyia Abdullah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan