Hujan yang turun sejak pagi tadi masih tidak menampakkan tanda-tanda akan berhenti. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 5.00 petang. Aku mulai gelisah. Berdiri tidak kena, duduk pun tidak kena. Yang pasti aku merasakan masa semakin suntuk untuk aku membuat keputusan. Aku menjadi serba-salah. Sekejap ke depan kedai dan sekejap ke dapur. Aku mencari kekuatan. Inilah detik perjuangan yang selama ini menjadi igauan ngeri tidur dan diriku.
“Bagaimana keputusan awak? Nanti pukul 9.00 malam kakak sudah nak balik ke Pulau Pinang.”
“Baiklah kak, kita selesaikan sekarang. Kakak tolong panggil mak dan ayah.” Aku memberanikan diri dan mencari kekuatan untuk mengatur kata-kata, meskipun degup jantungku terasa lain.
Aku menuju ke ruang tamu. Terasa peperangan akan meletus bila-bila masa sahaja. Aku cuba duduk di sofa tapi dudukku tidak lama. Aku melangkah ke ruang dapur. Kubasuh mukaku dan aku kembali duduk di sofa.
Mak, ayah, makcik dan kakak tiba-tiba muncul di depanku. Aku cuba mengawal debaran dan gelora jiwa. Mak, ayah, makcik dan kakak sudah melabuhkan punggung masing-masing di kusyen sofa.
“ Ni apa hal pula ni? Tiba-tiba suruh berkumpul di ruang tamu?” Mak bersuara menampakkan wajah gelisah.
“Apa yang kau dah buat?” Ayah mula menyoal. Mak cik dan emak memandangku dengan penuh tanda tanya. Kulihat kakak tunduk memandang lantai seakan berdoa supaya tidak terjadi sebarang perkara yang tidak diingini.
“Selama ini mak risaukan kau. Sudah setahun mak perhatikan perubahan kau. Mak dah pergi jumpa banyak bomoh dan semua mengatakan kau terkena buatan orang. Ada bomoh nak ubatkan kau tapi kau tak percaya.” Emak menyampuk
“Mak… ayah… saya… su… dah… Islam.” Kata-kata ringkas ini cukup sukar untuk aku lafazkan. Tanpa kusedari, air mata membasahi pipi. Mungkin itu air mata seksa yang selama ini bertakung di kelopak mata atau mungkin juga air mata gembira kerana gelisah dan penderitaan yang terpendam sekian lama di dada sudah terluah segala.
Kata-kataku bagai sebilah pedang tajam menusuk ke hulu hati semua yang ada di sekitarku. Kulihat pipi mak sudah dibasahi titisan air jernih, ayah tersentak tanda terkejut, mak cik memandang tajam ke wajahku dan kakak sepi membisu. Air mata aku biarkan mengalir sepuas-puasnya.
“Kau pergi ambil pisau dan bunuh aku sekarang.” Mak tiba-tiba meraung. Pelbagai kata-kata amarah mak dan makcik merobek jiwa rasaku. Kakak berusaha tenangkan mereka. Retak hatiku melihat mak dan ayah diselimuti kesedihan. Tiada niat walau sekelumit di hatiku untuk menghadirkan sedih di jiwa mereka.
Tindakanku menconteng arang ke muka mereka dan nenek moyang. Aku dilabel seorang anak derhaka kepada orang tua. Bagi diriku, aku berhak untuk memilih cara hidupku sendiri terutama agama yang aku yakini.
Aku cukup tidak mengerti mengapa mak cik memilih memeluk agama Kristian satu ketika dahulu, tidak dilabelkan demikian. Apabila aku memilih Islam, label itu terus dianugerahkan kepadaku. Apakah salah ku?
“Pergi kau keluar dari rumah ini. Aku tak ada anak seperti kamu ! keluar ! keluar !”
Kugagahi langkah kaki meninggalkan insan-insan yang amat aku sayangi. Meskipun perit dan pedih, aku redha dugaan-Mu…Allah.
oleh: Muhammad Irfan Nyia Abdullah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan