“Siapa nama pesakit?”
“Teo,” kataku pendek.
“Teo? Teo apa? Saya mahu nama penuhnya Encik!,” pengawal keselamatan wanita yang bertugas di kaunter pengeluaran pas lawatan itu bertanya sambil mendongak.
Aku tergamam.
“Maaf! Saya tidak tahu nama penuhnya,” kataku terus-terang. Perasaan bersalah yang amat sangat menerobos kalbu. Bagaimana dalam tempoh hampir 30 tahun ini aku tidak pernah mengambil berat mengenai nama penuh seseorang yang begitu dekat denganku?
“Dia di katil nombor berapa Encik?” sekali lagi lontaran soalan wanita beruniform putih itu menerjah. Sekali lagi juga aku tersentak.
“Tak tahu. Apa yang pasti dia di Wad 3B.” Keegoan sebagai seorang profesionalku tercabar. Mengapa fakta semudah ini tidak aku ketahui?
Setelah menghubungi rakannya melalui walkie-talkie, pengawal keselamatan itu mengesahkan tiada nama Teo di Wad 3.
Kini, giliran aku pula menerima leteran sebagaimana pelawat yang berada di depan barisan.
“Lain kali dapatkan maklumat lengkap pesakit sebelum datang. Ini membuang masa saya saja. Tengok tu orang yang beratur semakin panjang!,” dia terus membebel.
Walaupun aku boleh menjawab bahawa jarang pelawat yang ambil tahu nombor katil pesakit sebelum melawat tapi aku tidak mahu mengeruhkan keadaan.
“Apa hubungan Encik dengan pesakit?” Soalan ketiga ini benar-benar menguji kesabaranku.
“Puan. Tak perlulah membuang masa dengan banyak bertanya. Yang penting saya dapat menziarahi bapa mentua saya,” kataku semacam hilang sabar.
“Bapa mentua? Encik Melayu. Teo nama Cina. Jangan nak tipu saya,” wanita itu pula yang hilang sabar.
“Memang dia bapa mentua saya. Buat apa saya datang malam-malam begini sekadar hendak menyusahkan puan,” kataku sambil memandang pelawat lain yang beratur di belakang.
“Kami dapat arahan daripada pihak hospital supaya dapatkan maklumat lengkap pesakit sebelum kebenaran melawat diberikan,” katanya tegas. Setegas suara seorang komandan.
Aku tidak segera berputus asa. Bagai seorang Pembantu Am Pejabat yang baru bekerja sewaktu bertemu bosnya, aku terus merayu.
“Encik tak boleh masuk. Kalau nak masuk juga, dapatkan maklumat lengkap pesakit dulu di kaunter pendaftaran,” katanya tanpa memandang mukaku sambil melayan pelawat seterusnya.
Ketika berurusan di kaunter pendaftaran sekali lagi kesabaranku diuji walaupun kakitangan yang bertugas melayanku mesra. Tiada nama Teo di Wad 3B.
Sambil jari jemarinya mengetuk papan kekunci, petugas it terus menyebut satu persatu nama pesakit berbangsa Cina yang berada di Wad 3B. Antara nama pesakit Cina yang ada ialah Lee Nyok Ngan.
Tanpa membuang masa aku segera ke kaunter keselamatan sekali lagi. Aku tidak mahu membuang masa semata-mata menjadi mangsa delivery system yang tidak berkesan.
“Maaf Puan. Saya yang silap. Nama bapa mentua saya sebenar ialah Lee Nyok Ngan. “
Bagaikan mendapat senapang baru, wanita itu melepaskan tembakan demi tembakan leteran kepadaku sambil menyerahkan pas keselamatan.
Aku terus mencapainya lalu bergegas ke lif Hospital Tuanku Ja’afar yang cukup dikenali dengan inovasi pengurusannya itu.
Sebelum sempat masuk, aku segera ditegur pengawal keselamatan bertugas.
“Encikkah yang hendak jumpa pesakit bernama Teo tadi?. Aku mengangguk. “Nama itu memang tidak ada Encik!”.
“Tak apalah. Saya cuba carinya. Saya minta izin masuk,” pintaku. Dia membenarkan.
Kali ini perasaan bersalah sekali lagi menerjah. Aku sudah lama tidak menziarahi bapa sebenar isteriku. Kali terakhir, hanya kira-kira empat bulan lalu di pusat jagaan warga tua milik kakaknya.
Setelah habis semua katil aku kunjungi, hati kecilku memberitahu. “Benar! Bapa mentuamu di katil nombor lapan.”
Untuk mengesahkannya, aku bertanya kepada jururawat bertugas. “Siapa nama pesakit di katil nombor lapan?”
Tanpa ragu dan jelas sifat professionalnya, jururawat manis itu segera menjawab.
“Namanya Teo Seng Hee,” nama itu disebut lengkap dengan penuh keyakinan.
“Terima kasih!”
Aku segera berpatah balik ke katil yang terletak berhampiran pintu masuk.
“Maaf bapak! Kesibukan apakah yang menyebabkan aku amat jarang menziarahimu kebelakangan ini?” Tapak tanganku terus mengusap lembut bahunya. Tanpa aku sedari, kelopak mataku terasa berat. Air jernih bergenang di mata.
Sewaktu menyerahkan pas keselamatan untuk mendapatkan kembali kad pengenalan, dalam kesibukan melayan pelawat lain, pengawal keselamatan itu masih sempat untuk bertanya.
“Ada Encik Lee tadi?”
"Ada. Terima kasih banyak,” kataku sambil berlalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan