Sewaktu dalam perjalanan ke Perkampungan Orang Asli Tohor di Jelebu untuk dokumentari program Pensiangan-Salinatan, aku, Pak Wan dan Subramaniam mula berasa gelisah kerana kampung yang dicari masih tidak ditemui.
Perkampungan itu terletak agak jauh dari Chenah iaitu tempat di mana sekolah yang institut pilih iaitu Sekolah Kebangsaan Datuk Abdullah menjadi model eksperimen program itu.
Sebaik-baik selesai bersarapan di salah sebuah gerai kampung, kami segera bertolak ke kampung berkenaan dengan Suzuki Vitaraku. Kami riang sekali kerana diberi kebenaran oleh pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Haji Abdul Rahman untuk bermukim di situ selama tiga hari.
Bagaimanapun dalam suasana rancak berbual mengongsi pengalaman membuat rakaman video dengan beberapa orang Asli yang duduk berdekatan sekolah, kami mula gelisah kerana Kampung Tohor masih tidak ditemui.
Walaupun jalan ke kampung itu sudah bertar tapi melalui kawasan hutan yang masih belum tercemar itu agak mencemaskan juga.
Tiba-tiba kami mula melihat beberapa buah rumah di hadapan dan seorang anak muda berumur sekitar 15 tahun kelihatan sedang menyusur jalan.
Aku memberhentikan kereta lalu bertanya.
“Dik! Kampung Tohor jauh lagi tak?”
Dia diam seketika sambil menggaru-garu kepalanya.
“Kampung Tohor,” Pak Wan pula mula bersuara.
“Tak jauh,” dia menjawab.
“Berapa minit boleh sampai ke situ?,” aku pula bertanya kembali.
“Kalau Encik bawa laju cepat sampai, kalau bawa perlahan, lambatlah,” itu jawapannya.
Kami bertiga pula yang menggaru kepala.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan