Isnin, 15 Ogos 2011

Pemandu Orang Nombor Satu


Balan diapit Mohd Isa dan Datin Hazizah sewaktu majlis
perkahwinannya. Turut bersama mendiang K. Pathmanaban.
Balan, pemandu Menteri Besar, Mohd Isa memang rapat denganku. Selain selalu bertemunya di majlis-majlis rasmi, Balan sering juga datang ke rumahku kerana menghantar anak kedua bosnya.
     Megawai, anak kedua Mohd Isa ialah rakan sekelas anak sulungku, Siti Haryati. Isteri Mohd Isa sendiri yang meminta pihak sekolah menempatkan anaknya sekelas dengan anakku.
Megawati dan Allahyarhamah ibunya,
Datin Hajah Hazizah Haji Tumin
     Selain anakku sering diajak ke kediaman rasmi Kerajaan Negeri, Mega selalu juga datang bermain-main di rumahku. Kedua-duanya berkawan baik.
     Balan bukan sekadar pemandu Menteri Besar. Oleh kerana sudah terlalu lama bekerja di sana, iaitu kira-kira 20 tahun, Balan seolah-olah menjadi sebahagian keluarganya.
     Dialah yang menghantar anak-anak ke pusat tuisyen. Dia jugalah yang saban petang singgah di gerai kueh berhampiran rumahku kerana membeli kueh keria, kegemaran Datin Hajah Hazizah.
     Bagaimanapun sejak Mohd Isa sudah jadi menteri dan bertugas di Kuala Lumpur pula, Balan kembali ke pejabat asalnya; juga sebagai pemandu di Jabatan Kebajikan Masyarakat.
     Sesekali aku bertemu juga Balan sama ada di pasar raya atau dalam majlis-majlis rumah terbuka. Seperti biasa, Balan yang cukup tinggi budi bahasanya itu tidak akan lupa bertanya khabar isteri dan anak sulungku.
     “Kakak macam mana? Yati sudah habis belajar ke belum? Kirim salam kepada mereka!”
     Baru-baru ini aku terkejut juga dengan sikap Balan. Sewaktu memberhentikan kereta untuk bertanya khabar sebaik keluar dari rumah terbuka Menteri Besar baru, Mohamad Hasan, Balan semacam terlupa.
     “Dato’ apa khabar?,” tegurnya ramah.
     Oleh kerana ada kereta di belakang kereta Mercedes C200 yang aku pandu, aku segera mohon maaf kerana tidak dapat berbual panjang.
Sambil melambai tangan, Balan tidak lupa tugas biasanya tapi dengan kata panggilan yang berbeza;
     “Kirim salam pada Datin!” teriaknya.
     Dato’? Datin? Aku bertanya sendirian.  

Tiada ulasan: