Md Said (berkaca mata hitam) begitu bahagia apabila rakan-rakan sekerja meraikannya |
Persahabatan aku dengan empat orang rakan sejawat ini agak akrab kecuali dengan Ustaz Husin. Dengan Ustaz Husin, kadang-kadang aku bertelagah kerana ada di antara perangai dan tabiatnya yang aku tidak berkenan.
Walau bagaimanapun aku tidak pernah menzahirkan ketidakselesaan itu dengan cara yang kasar atau dengan cara yang boleh menyinggung perasaannya. Selalunya aku meluahkan protesku secara bijaksana, berdiplomasi dan dalam bentuk gurauan. Hakikatnya aku tetap menghormati Ustaz Husin sebagai seorang ustaz dan orang yang lebih senior dalam profesion keguruan.
Ustaz Husin berumur dalam lingkungan empat puluhan, sudah berkahwin dan mempunyai tujuh orang anak. Namun begitu, acapkali aku melihat dia berlagak seperti orang belum berkahwin. Dia sering ‘menggatal’ terutamanya pada Cikgu Maisarah.
Ustaz Husin sering melakukan aktiviti ‘mengusik’ atau menggoda Cikgu Maisarah terutamanya semasa berada di dalam kereta Cikgu Ding. Kadang-kadang timbul juga rasa meluat dan ‘berbulu’ dengan perbuatan Ustaz itu. Namun untuk menjaga keharmonian dan silatulrahim yang berpanjangan, maka segala-galanya aku pendamkan.
Mungkin disebabkan Si Ustaz sering berpeluang duduk bersebelahan dan bersentuhan bahu dengan Cikgu Maisarah, maka dia menjadi ‘terangsang’ dan seterusnya melakukan aktiviti yang menyakitkan telinga dan mata aku apabila terdengar ataupun terpandang.
Cikgu Maisarah pula yang masih ‘bujang trang tang tang’, tidak pernah menunjukkan respons atau reaksi yang negatif. Walaupun dia tahu bahawa Si Ustaz cuba menggodanya, namun dia berjaya menangkisnya dengan cara yang sangat diplomasi, lemah-lembut dan penuh kebijaksanaan.
Cikgu Maisarah sentiasa kelihatan ceria, tersenyum dan bertindak seperti seekor lalat yang kelihatan jinak tapi sebenarnya amat sukar untuk ditangkap. Aku rasa sikap ‘jinak-jinak lalat’ yang ditunjukkan oleh Cikgu Maisarah itu, telah menyebabkan Si Ustaz semakin teruja, semakin yakin dan suhu kegatalannya semakin meningkat.
Menyedari akan tabiat dan sifat kegatalan Ustaz yang semakin menjadi-jadi, maka terlintas di dalam fikiranku untuk ‘mengusik’, ‘mempermain-mainkan’ dan mempersendakan Si Ustaz. Dengan cara yang demikian, aku mengharapkan kemeluatan aku pada perangainya akan terbalas dengan cara yang halus, tidak ketara serta tidak menyinggung perasaan.
Peluang untuk aku mempersendakan Si Ustaz, muncul pada suatu ketika iaitu semasa kami dalam perjalanan pulang dari sekolah. Kebetulan pada masa itu, Cikgu Maisarah tidak ada bersama. Maka dapatlah aku mempersendakan Si Ustaz tanpa didengar bersama oleh Cikgu Maisarah.
Aku memulakan aktiviti mempersendakan itu dengan meluahkan ayat-ayat yang berunsurkan puji-pujian. Strategi itu aku gunakan kerana aku memang telah lama menyedari yang Si Ustaz ini memang suka dipuji.
Apabila dia kena puji, maka muka dan telinganya akan menjadi kemerah-merahan. Itulah satu daripada tanda bahawa Si Ustaz itu sedang dilamun keseronokan. Selain daripada itu, muka dan telinga Ustaz juga akan bertukar kepada kemerah-merahan apabila kena marah ataupun sedang marah.
Ayat pertama yang aku hamburkan kepada Ustaz ialah “Wahai Ustaz..! Saya lihat Ustaz ni memang ensem (handsome), masih tegap dan kacak bergaya. Saya tak nampakpun Ustaz ni macam orang yang berumur empat puluhan. Kalau tak percaya cuba tanya Cikgu Ibrahim.”
Begitulah ayat yang pertama terkeluar dari mulutku. Tiga potong ayat yang berunsurkan puji-pujian itu sebenarnya hanya bermaksud untuk menarik minat Si Ustaz dan seterusnya memerangkap beliau dengan agendaku yang tersembunyi.
Usikanku yang pertama itu kelihatan seperti telah ‘mengena’ kerana muka dan telinga Si Ustaz mula kelihatan kemerah-merahan. “Ye ke…, ye ke…?, He… he…, he… he…!”, Balas Si Ustaz sambil ketawa gembira dan tersenyum puas.
Sebagaimana yang aku harapkan, Cikgu Ibrahim lantas mencelah dan menyokong strategi puji-pujian yang sedang aku gunakan. “Betul tu Ustaz, kalau Ustaz nak mengaku baru berumur tiga puluh tahunpun, semua orang akan percaya,” tambah Cikgu Ibrahim.
“Ye ke…, ye ke…?, He… he…, he…. He…!”. Ustaz semakin gembira dan senyumannya semakin melebar.
Aku bertambah seronok kerana umpan yang aku lemparkan memang sudah mengena. Niatku hendak mempersendakan Ustaz Husin semakin menjadi kenyataan. Seterusnya aku ayatkan lagi Si Ustaz dengan kata-kata, “Orang macam Ustaz inilah yang layak untuk berpoligami. Badan tegap, ensem dan mampu segala-galanya. Agaknya tentu ramai perempuan yang berminat dengan Ustaz kan?
Kalau setakat nak ‘pasang dua’ saya rasa tentu tak ada masalah. Betul tak Cikgu Ibrahim?” Begitulah bahagian kedua ayat puji-pujian yang aku hamburkan dengan tujuan terus ‘menggoda’ Si Ustaz di samping turut meminta sokongan daripada Cikgu Ibrahim.
Sepantas kilat pula Cikgu Ibrahim memberi sokongan, “Betul tu Ustaz, orang macam Ustaz ni bukan setakat dua, empatpun boleh”. “Ye ke…, ye ke…? He…he… he. He… he.. he…!” balas Si Ustaz sambil ketawa kegirangan.
Tiba-tiba Cikgu Ding pula mencelah, “Limapun apa apa salah…?”. Kami semua ketawa berdekah-dekah. “Kah… kah… kah…, kah… kah… kah…!”. Ustaz semakin gembira dan ketawanya semakin kuat. Muka dan telinganya semakin ‘merah’.
Ayat puji-pujian yang terakhir terkeluar daripada mulutku adalah merupakan ibu segala ayat dan ayat power yang memang ditunggu-tunggu oleh Si Ustaz. Beginilah bunyi ayat tersebut. “Hmm…, Cikgu Maisarah tu masih ‘kosong’. Memang matching dengan Ustaz. Saya nampak diapun macam berminat dengan Ustaz”. Kata-kataku itu membuat Si Ustaz melenting kegembiraan. Muka dan telinganya bertukar menjadi merah padam.. “Ye ke…, ye ke?…, kah… kah… kah…! Betul ke ni?,” ketawanya semakin kuat.
Tiba-tiba Cikgu Ding mencelah lagi, “Ya… ya… ya….! Ini Ustaz ha…, sama itu Cikgu Maisarah, memang ‘ ngam’ ma, seperti pinang dibelah dua”. Kata-kata Cikgu Ding yang bersulamkan peribahasa itu, menyebabkan kami semakin terhibur dan terus ketawa terbahak-bahak.
Seterusnya Cikgu Ibrahim menambah lagi, “Kalau Ustaz kawin dengan Cikgu Maisarah, confirm saya bagi dua guni beras untuk majlis kenduri nanti. Cikgu Ding akan bagi pinjam kereta, betul tak Cikgu Ding?”
“Ya… ya… ya.., itu hari kawin, Ustaz boleh pakai saya punya kereta, tak payah sewa ma.”. Kami ketawa lagi berdekah-dekah.
Sebelum sempat aku menambah, Cikgu Ibrahim berkata lagi, “Ha…, Cikgu Said nak bagi apa pulak?’ aku lantas menjawab, “Saya ni anak yatim. Saya hanya mampu jadi pengapit, boleh tak Ustaz?” Jawapan-jawapan daripada aku, Cikgu Ding dan Cikgu Ibrahim itu, menjadikan Ustaz semakin teruja. Ketawanya semakin kuat dan senyumannya yang semakin lebar.
Episod kami mempersendakan Ustaz, terhenti apabila kami sampai ke Pekan Batu Kikir. Di situ Ustaz turun dengan perasaan bangga dan tersenyum puas. Muka dan telinganya merah-padam seperti kulit udang yang dibakar. Sebelum melangkah pergi, Ustaz Husin sempat berpesan, “Esok kita sambung lagi ya….!” (bersambung)
oleh: Md Said Bidin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan