KATA orang tidak sah kalau tidak usik anak dara orang kalau budak lelaki duduk berkumpul ramai-ramai. Paling kurangpun dengan teguran memberi salam, yang terlebih itu faham-faham sahajalah, tidak payahlah aku hendak perincikan.
Kali ini aku hendak cerita pasal usik-mengusik anak dara semasa aku berumur 20 tahun, belajar di sebuah kolej di Pulau Mutiara.
Ceritanya begini. Memang menjadi rutin harian kami setiap petang bermain bola sepak di padang kolej. Bahagian belakang padang itu, jalan raya utama dan di seberang jalan terdapat taman perumahan, kebanyakannya rumah jenis banglo. Sudah tentu orang yang loaded saja tinggal di situ.
Sebenarnya kami teruja sangat bermain bola sepak setiap petang kerana kata orang ada motivasi. Seorang wanita yang duduk di halaman rumah sering memerhati kami bermain bolasepak.
Hendak jadi cerita, dah kerap sangat kami nampak mereka, maka mulalah kami menjadi lebih ramah, melambai-lambai tangan kepada mereka. Rupa-rupanya kami tidak bertepuk sebelah tangan. Peristiwa lambai-melambai terus berlaku setiap petang sehingga kami semua teruja hendak tahu siapa mereka?
Ada yang mencadangkan supaya pergi sahaja jumpa mereka tetapi siapa yang hendak pergi? Masing-masing semuanya menolak. Maklum sajalah tidak tahu lagi apa kemungkinan yang berlaku jika pergi menemui mereka.
Hasrat hendak jumpa mereka itu terpendam buat seketika. Hendak jadi cerita, suatu petang aku gatal mulut pula, "Kalau korang tak berani, biar aku je yang pergi!"
Tapi macam mana? Bincang punya bincang, bila tengah main, salah sorang menendang bola kuat-kuat supaya bola itu melepasi pagar dan melepasi jalanraya dan sampai ke depan rumah perempuan itu.
Rancangan kami menjadi, bola itu memang mendarat di depan rumah perempuan itu. Kelihatan perempuan itu memberi isyarat menyuruh datang mengambil bola. Sudah tentu itu menjadi tugas aku. Aku pun keluar melalui lubang kecil pada pagar, menyeberang jalan raya dan sampai di depan rumah perempuan itu, tapi hanya seorang sahaja yang ada. Mana seorang lagi?
Akupun tidak berlengah lagi, dengan malu-malu mengambil bola itu dan terus menendang bola itu dengan kuat supaya masuk semula ke dalam padang. Dipendekkan cerita, setelah aku menendang bola, kami bertegur sapa. Rupanya perempuan Melayu.
Dia mengajak aku masuk ke rumah kerana "mem" nya ajak minum. Aku menolak pelawaannya dengan pelbagai alasan, namun akhirnya termakan juga pujukannya. Sebaik-baik aku melangkah masuk, berdiri seorang wanita cantik dengan tersenyum menegur aku,
"Sawadikap...!" kata orang, gugur jantung aku mendengar teguran suara lembut dari seorang wanita cantik. Aku terpinga-pinga dengan teguran sebegitu. Maklum sahajalah perkataan itu ramai yang tahu iaitu bahasa Siam.
"Perempuan ini Siam ke Melayu sebab yang mengajak aku masuk tadi Melayu?"
Dipendekkan cerita, rupa-rupanya wanita yang menunggu di dalam rumah adalah berbangsa Thai dan bertugas sebagai Pensyarah Bahasa Thai di USM. Perempuan Melayu yang mengajak aku masuk ialah pembantu rumahnya. Sejak dari peristiwa itu aku dan Miss Ticha (nama pensyarah itu) menjadi kawan baik sehinggalah aku tamat belajar di kolej.
oleh: Idris Mohamad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan